Ramai mengatakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ini berlangsung hambar.  Betul ia hambar dan para menteri juga mengakuinya.  Paling hambar dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.  Wajah ceria di atas pentas utama hanya terpancar pada DYMM Tuanku Mizan dan Permaisuri.  Boleh ditafsirkan dari semua wajah pemimpin  negara kegusaran yang semua tahu.

Melompat parti untuk menyertai Pakatan Rakyat dikatakan tidak amanah dan mengingkari janji.  Suatu ugutan yang memperlihatkan kekalutan serta tidak yakin dengan rakan-rakan sepimpinan.  Kerana UMNO/Barisan Nasional tahu mejoriti ahli parlimennya dididik dengan kemewahan dan wang.  Jadi mudah sahaja mereka berpaling tadah jika dirasakan kelebihan apabila melompat parti.  51 tahun mereka beroleh kepercayaan British untuk mentadbir negara.  Juga hanya dengan satu perjanjian dan pilihanraya ketika itu hanyalah gimik agar negara bebas daripada British.

Rakyat kini semakin sedar bahawa selama ini mereka seharusnya beroleh lebih daripada yang ada sekarang.  Bersyukur hanya ungkapan pemerintah untuk meredakan rakyat sejak sekian lama.  Kefahaman tentang islam yang semakin baik mendatangkan makna syukur yang hakiki kepada tuhan pencipta dan bukannya kepada pemimpin.  Akhirnya dangkal perasaan kita apabila mendengar supaya bersyukur dengan harga minyak sekarang yang masih rendah berbanding Singapura.

Apabila menyentuh soal strategi untuk perubahan pada 16 September ini, aku katakan 70% bakal berlaku.  2 minggu mendatang ini bakal menyaksikan suatu kegemparan isu dan corak politik Malaysia yang pasti menjadi sejarah ulung. 

Tiada istilah khianat apabila kita membawa amanah seseorang itu ke tempat yang lebih baik.  Rakyat memilih pemimpin agar mereka mentadbir dan memelihara negara dengan baik.  Itulah rakyat yang prihatin kepada negaranya.  Pada Mac lalu, mereka memilih pemimpin BN agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik bukan semata-mata memilih BN.  Jadi peralihan pemimpin pilihan mereka kepada Pakatan Rakyat bukanlah khianat kerana pemimpin mereka itu dapat berkhidmat dengan lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.