Ramai berkata Anwar bohong sebab tak jadi tukar kerajaan pada 16 September 2008.  Terpulang kepada semua untuk menilainya.  Namun pada sidang media semalam, jelas Anwar berkata Pakatan Rakyat mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan.  Rundingan untuk bertemu Pak Lah secara rasmi dan teratur untuk proses pengambilalihan kerajaan sedang diaturkan.

Sebaliknya Pak Lah menjawab ia hanya sandiwara dan pertemuan dengan Pakatan Rakyat untuk proses pertukaran kerajaan tidak perlu.  Tambahnya jika dipersetujui pertemuan itu, Anwar akan mereka cipta cerita yang Pak Lah sudah bersetuju untuk peralihan kerajaan.  Itu jawapan Pak Lah.  Juga Pak Lah mencabar untuk Anwar mengemukakan senarai ahli parlimen BN yang akan sertai Pakatan Rakyat.

Mengapa Anwar perlu jumpa Pak Lah?  Dan mengapa Pak Lah tidak mahu jumpa Pakatan Rakyat?

Anwar perlu jumpa Pak Lah kerana kuasa tertinggi kerajaan sekarang adalah pada Pak Lah.  Proses peralihan bermakna termasuk menggantikan kepimpinan tertinggi negara.  Oleh sebab itu perlu diadakan pertemuan tersebut untuk membincangkan proses peralihan yang teratur.  Ia amat perlu kerana proses ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.  Kedua-dua pihak (BN dan PR) perlu duduk semeja membincangkan proses peralihan yang tidak menggugat perjalanan hidup rakyat Malaysia.  Tidak perlu mempersoalkan isu ia adalah sandiwara.

Tindakan Pak Lah mengelak pertemuan dengan PR menimbulkan tanggapan bahawa ketakutan berada di pihaknya.  Malah cabaran supaya menyatakan nama-nama ahli parlimen BN yang akan beralih juga adalah tindakan yang dianggap pengecut.  Pengecut kerana sejarah Pak Lah memang begitu.  ISA, ugutan dan hukuman banyak kali diamalkan oleh kerajaan BN sejak sekian lama.  Media tidak seharusnya menjadi platform untuk proses peralihan.  Pertemuan dan perbincangan yang rasmi adalah prosesnya.

Melihat tindakan Tun Mahathir yang akan kembali semula ke pangkuan UMNO, juga petanda bahawa akan tumbangnya BN.  Tun pernah berkata ketika beliau keluar dari UMNO dahulu bahawa beliau akan kembali semula menyertai UMNO setelah Pak Lah letak jawatan.  Pada mulanya Tun dikatakan akan menyertai UMNO pada 17 September.  Aku membayangkan pada 16 September itu BN tumbang iaitu hari Pak Lah letak jawatan.  Sekarang Mukhriz berkata Tun akan sertai UMNO sebelum 1 Oktober, yang memperlihatkan Pak Lah akan berundur sebelum itu lagi.

Cukup dengan kenyataan DS Anwar bahawa Pakatan Rakyat sudah memiliki bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.  Bermakna akan ada ahli parlimen melompat ke PR secara beramai-ramai.  Antara benar atau tidak kenyataan itu, ia sudah menggugat keseluruhan kerajaan yang mentadbir Malaysia sekarang.

Apa tidaknya, lihat saja UMNO yang kian bergolak, cadangan Gerakan, SAPP serta orang kanan MCA untuk keluar Barisan Nasional.  Malahan tindakan 50 orang ahli BNBBC melawat Taiwan dan sekarang dikatakan pula berpindah ke Hong Kong adalah menifestasi serangan psikologi DS Anwar.  Logiknya tidak timbul soal lawatan sambil belajar secara besar-besaran seperti itu di tambah pula pada bulan Ramadan ini yang mana antara kegiatan utama ahli parlimen di bulan ini adalah melawat kawasan serta berbuaka puasa bersama rakyat.

Muhyiddin, Rais Yatim, Najib Razak dan Zaid Ibrahim sudah memberi signal bahawa Pak Lah sudah tidak mampu untuk menyelamatkan keadaan.  ISA kepada tiga orang juga tidak kena pada isunya.  Sedangkan Datuk Ahmad bersama penyokongnya yang bertindak mengoyak gambar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat lebih besar kesan perkaumannya.

Mana-mana aku pergi pun orang ramai sudah biasa berbicara agenda 16 September.  Tidak terkecuali anak-anak muda.  Inilah yang menjadi kegusaran Pak Lah.  Kerana kini dia baru faham yang kuasa ada pada rakyat.

Ramai mengatakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ini berlangsung hambar.  Betul ia hambar dan para menteri juga mengakuinya.  Paling hambar dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.  Wajah ceria di atas pentas utama hanya terpancar pada DYMM Tuanku Mizan dan Permaisuri.  Boleh ditafsirkan dari semua wajah pemimpin  negara kegusaran yang semua tahu.

Melompat parti untuk menyertai Pakatan Rakyat dikatakan tidak amanah dan mengingkari janji.  Suatu ugutan yang memperlihatkan kekalutan serta tidak yakin dengan rakan-rakan sepimpinan.  Kerana UMNO/Barisan Nasional tahu mejoriti ahli parlimennya dididik dengan kemewahan dan wang.  Jadi mudah sahaja mereka berpaling tadah jika dirasakan kelebihan apabila melompat parti.  51 tahun mereka beroleh kepercayaan British untuk mentadbir negara.  Juga hanya dengan satu perjanjian dan pilihanraya ketika itu hanyalah gimik agar negara bebas daripada British.

Rakyat kini semakin sedar bahawa selama ini mereka seharusnya beroleh lebih daripada yang ada sekarang.  Bersyukur hanya ungkapan pemerintah untuk meredakan rakyat sejak sekian lama.  Kefahaman tentang islam yang semakin baik mendatangkan makna syukur yang hakiki kepada tuhan pencipta dan bukannya kepada pemimpin.  Akhirnya dangkal perasaan kita apabila mendengar supaya bersyukur dengan harga minyak sekarang yang masih rendah berbanding Singapura.

Apabila menyentuh soal strategi untuk perubahan pada 16 September ini, aku katakan 70% bakal berlaku.  2 minggu mendatang ini bakal menyaksikan suatu kegemparan isu dan corak politik Malaysia yang pasti menjadi sejarah ulung. 

Tiada istilah khianat apabila kita membawa amanah seseorang itu ke tempat yang lebih baik.  Rakyat memilih pemimpin agar mereka mentadbir dan memelihara negara dengan baik.  Itulah rakyat yang prihatin kepada negaranya.  Pada Mac lalu, mereka memilih pemimpin BN agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik bukan semata-mata memilih BN.  Jadi peralihan pemimpin pilihan mereka kepada Pakatan Rakyat bukanlah khianat kerana pemimpin mereka itu dapat berkhidmat dengan lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

 

 

“Saiful takkan berundur” itulah kata-kata yang menggambarkan penglibatan si pengaku kene liwat oleh DS Anwar Ibrahim.  Setelah pendedahan demi pendedahan (yang terbaru imam yang menyaksikan acara sumpah) diutarakan, ia semakin jelas si Saiful adalah senjata UMNO untuk melawan Anwar.

Sungguh kasihan aku melihat Saiful digunakan oleh orang berkepentingan.  Kasihan juga apabila melihat Saiful yang tergolong dalam kategori mahasiswa hancur dalam mainan politik.  Malah sungguh aku akui bahawa AUKU itu kejam hingga melahirkan manusia seperti Saiful – yang cetek ilmu politik semasa dan  mudah digula-gulakan oleh orang lain.  Contohnya, jika kita ditawarkan wang berjumlah hampir juta ringgit untuk melakukan sesuatu yang pada fikiran kita amat mudah, nescaya sukar untuk ditolak tambahan pula kita tidak arif akan hal tersebut.

Mungkin ini terjadi pada Saiful.  Mungkin pada awalnya Saiful hanya perlu malakukan sesuatu yang mudah, dan apabila hingga ke tahap ini terlalu sukar untuk berundur.  Jika kes liwat ini benar palsu dan Saiful mengakuinya, malapetaka yang amat besar melanda Malaysia.  Pastinya Pak Lah dan BN tumbang mudah kepada Pakatan Rakyat.  Oleh itu Saiful adalah dalam kawalan ketat pihak tertentu agar ia tidak bocor akan hal sebenar.  Mungkin ancaman nyawa juga dalam strategi pihak tertentu.  Kerna ia bukan hal remeh.

Ada juga sahabat yang bertanya mengapa Anwar tidak bersumpah sama.  Jawapanku adalah Anwar tidak mahu mengikut strategi yang mungkin telah disusun oleh pihak lawan.  Pihak lawan asyik mengumpan Anwar supaya bersumpah seperti Saiful.  Pemerhatianku mungkin ada suatu perangkap dalam hal ini jika Anwar turut bersumpah.  Strategi politik yang sukar kita andaikan.  Apabila kita di pihak menyerang maka tidak perlu kita beralih perhatian mengikut rentak lawan.

Seperti mana UMNO/BN juga tidak menjawab serangan PR dalam isu harga minyak dan lompat parti kerana strategis mereka tidak mahu juga terperangkap.

Pertamanya aku mengucapkan tahniah kepada DS Wan Azizah kerana pengorbanan beliau terhadap suaminya, DS Anwar Ibrahim.  Pengorbanannya bukan kerana memberi laluan kepada Anwar untuk pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, tetapi pengorbanan selama hampir tiga penggal menggantikan tempat Anwar di Permatang Pauh.  Daripada suri rumah yang tidak pernah menjangkakan akan menjadi ketua pembangkang di negara Malaysia hingga terpaksa mengembara ke serata pelusok negara menyatakan kebenaran.  Episod yang sepatutnya diambil pengajaran kepada semua wanita di samping meneladani kisah isteri Timbalan Presiden UMNO.  Bahawa wanita mempunyai peranan yang besar kepada suaminya, bersesuaian dengan peristiwa Isra’ Mikraj yang mana menyatakan golongan wanita adalah teramai dalam neraka dan salah satu sebabnya adalah mengingkari serta mengaibkan suaminya.

Permatang Pauh tidak akan melenyapkan Bandar Tun Razak dan Kulim Bandar Baharu.  Sudah aku katakan bahawa perang pilihanraya kecil adalah lebih hebat daripada pilihanraya umum.  Segala kelengkapan dan tentera akan dikerah bertempur di tempat yang kecil dan pastinya meletuskan pertempuran hebat.  Menang kalah sukar dijangka.

Pengumuman Wan Azizah meletakkan jawatan disusuli dengan siapnya laporan siasatan kes liwat II ke atas Anwar yang Menteri Dalam Negeri sendiri tidak tahu isi kandungannya.  Ternyata bom jangka telah disediakan oleh pihak lawan Anwar.  Pertempuran semasa pengiraan undi di jangka lebih mudah berbanding  ketika penamaan calon iaitu melepasi had kelayakan bertanding.  Lantas mengingatkan aku kepada calon heavyweight lain seperti Shamsul Iskandar dan Mohd Sabu.

Tidak perlu aku ulas berkaitan calon lawan kerana memang tiada tandingan.  Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan antara Anwar dan konspirasi.  Konspirasi yang lebih hebat kerana sekarang Anwar di pihak menyerang manakala konspirasi adalah di pihak bertahan berbanding sebaliknya ketika 1998.  Satu pasukan konspirasi yang boleh dikatakan amat kebal melibatkan PDRM, Mahkamah, Hospital, Putrajaya, SPR serta media di samping awak-awak yang bakal menunjukkan heronya di saat pemilihan UMNO yang makin panas ini.  Konspirasi ini akan terus bergandingan selagi hayat Pakatan Rakyat terus hidup.

Kenyataan Najib (malaysiakini) bahawa kerajaan sukar menang di Permatang Pauh seharusnya disusuli pengakuan beliau bahawa kerajaan hari ini gagal menangani hati rakyat.  Dan juga merupakan isyarat strategi kotor akan digunakan, masakan mereka akan mengaku kalah.

Aku melihat sejak akhir-akhir ini strategi pihak kerajaan sudah sampai ke tahap tepu.  Segala apa tindak tanduk mereka mudah di jangka dan mudah juga di patahkan oleh rakyat yang kian hari bertambah jelek dengan pemain mereka yang bernama media massa.

Kini strategi mereka mungkin ke arah kebenaran.  Menyatakan kebenaran dan melaksanakannya.  Tidak mustahil harga minyak akan diturunkan, kebajikan rakyat semakin dijaga dan ‘pemberat’ akan disingkirkan.  Namun mustahil mereka akan berjaya kerana perjalanan mereka adalah atas jalan penipuan dan kepalsuan semata-mata.

Tahniah Wan Azizah!

Aku sudah siap bertempur di Permatang Pauh.

Secara tersirat berkaitan isu muzakarah yang tiba-tiba meletup ini, perlu anda setuju bahawa UMNO gagal mendapat sokongan rakyat.  Sekali lagi aku menegaskan muzakarah sebenarnya bukan untuk kepentingan Melayu atau Islam, ia sebagai alat untuk memporak perandakan Pakatan Rakyat.

Siapa yang ‘bising’ pasal muzakarah? – Khir Toyo dan Tajul Rosli, mereka yang hilang kuasa dan pengaruh.  Tidak ubah seperti Abu Jahal yang menawarkan jawatan penting kepada Nabi s.a.w kerana dilihat Islam semakin mendapat tempat dihati masyarakat.  Begitulah kedua-duanya yang sedia menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS.

Kepentingan Melayu Islam?  Apa pendapat Isa Sabu, Ghani Othman, Adnan Yaakob dan Mohamad Hassan?  Sudikah bermuzakarah dengan PAS dan berkongsi kuasa di negeri-negeri mereka?  Apakah Melayu dan Islam hanya tergugat di Selangor dan Perak sahaja?  Bagaimana di Pulau Pinang dan Terengganu?  Sekali lagi diulang Terengganu adalah kedua termiskin di Malaysia – negeri yang hampir 95% rakyatnya Melayu.

Islam di Malaysia tergugat disemua negeri.  Lihat pusat perjudian hebat di Genting, kedai nombor ekor di mana-mana, anak luar nikah berleluasa, masalah sosial remaja dan macam-macam lagi.  Masalah ini lebih dominan untuk dibincangkan (muzakarah) oleh yang empunya kuasa tertinggi.  Di sinilah peranan utama UMNO sebagai parti teramai dalam komponen Barisan Nasional.  Isu kepentingan Melayu dan Islam patut dibincang oleh UMNO dalam Barisan Nasional.

Jika muzakarah PAS-UMNO berhasil (bukan PAS masuk BN), maka resolusinya hanya dapat dilaksanakan oleh pemerintah yang diterajui oleh UMNO/BN.  Aku meletakkan satu benchmark muzakarah, hapuskan judi.  Mampukah UMNO/BN melaksanakannya?  PAS tidak dapat melaksanakannya kerana bukan pemerintah.  Hanya berupaya tidak meluluskan premis judi di negeri-negeri yang ditadbir.

Kesimpulannya muzakarah timbul kerana UMNO gagal mendapat sokongan rakyat di Perak dan Selangor.  Selain melarikan isu besar kenaikan harga minyak dan sokongan semakin tinggi kepada Pakatan Rakyat.

Muzakarah antara PAS-UMNO adalah taktik UMNO untuk melaga-lagakan PAS dengan Pakatan Rakyat.  Isu kepentingan Melayu dan Islam sengaja dijadikan umpan untuk mengajak PAS bermuzakarah.  Supaya timbul syak wasangka PR kepada PAS.  Lantas merenggangkan hubungan PAS dengan PR.  Mengapa muzakarah ini timbul disaat UMNO semakin gawat dan bukannya ketika mereka selesa bertakhta dahulu.  Seperti yang sedia maklum, UMNO sering menolak saranan PAS.  Lihat sahaja isu Islam Hadhari, Perlaksanaan Hukum Islam, Sure Heboh, Penghormatan Tugu Negara, Kes Murtad dan sebagainya.

Begitu juga memperlekehkan idea PAS seperti cuti bersalin dan kerja 5 hari seminggu.  Termasuk menghina pemimpin PAS seperti pemakaian jubah seta serban.  Menekan sekolah agama rakyat (SAR), pelajar pengajian agama di luar negara.  Ternyata UMNO tidak ikhlas bermuzakarah bahkan sekadar strategi memporak perandakan PR.

Selain itu muzakarah juga sebagai menggoyahkan pandangan orang ramai terhadap ketelusan PAS membawa perjuangan Islam.  Sudah dasarnya PAS memperjuangkan Islam bermakna menolak kezaliman seperti ISA, rasuah (yang hingga kini masih belum bebas istilah UMNO dengan rasuah) dan ketidakadilan.  Amat mustahil UMNO mahu meninggalkan amalan tersebut dan menyetujui PAS.  Menyetujui PAS bermakna UMNO bersama Pakatan Rakyat!  Lagilah amat-amat mustahil.

Memang benar pendapat sesetengah pemimpin PAS bahawa muzakarah dengan UMNO hanyalah membuang masa dan adalah perangkap.  Penolakan PAS terhadap muzakarah juga adalah perangkap yang mana UMNO boleh memainkan isu bahawa PAS tidak mementingkan perpaduan Melayu dan Islam.  Oleh itu, pendekatan yang berhemah amat diperlukan pemimpin PAS dalam menangani isu ini.

Dan jika benar UMNO ikhlas mahu menjaga kepentingan Melayu dan Islam, sepatutnya mereka terlebih dahulu bermuzakarah atau berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.  Di sana masyarakat Melayu dan Islam adalah bukan majoriti dan diperintah oleh pemimpin bukan Islam dan bukan Melayu.  Di sinilah titik tolak muzakarah kepentingan Melayu dan Islam.  Di sini juga terbit isu DEB yang ditentang UMNO selepas PRU baru-baru ini yang dikatakan menidakkan ketuanan Melayu.  Yang lebih memudahkan ialah BN Pulau Pinang dipengerusikan sendiri oleh Pak Lah.

Jelas bahawa UMNO tidak ikhlas membela nasib orang Melayu dan Islam sebaliknya sentiasa mahu mencari peluang mengukuhkan cengkaman yang zalim kepada masyarakat Melayu dan Islam.

*Yang aku nampak, perkara yang ditetapkan oleh mufti dan majlis fatwa yang mereka sendiri lantik pun mereka tidak ikut.  Maka sarananku bermuzakarahlah dengan mufti dan majlis fatwa terlebih dahulu.

Sebelum Pilihanraya Umum ke -12 baru-baru ini dan tahun-tahun sebelumnya juga, masyarakat Malaysia begitu sukar berbicara hal berkaitan politik.  Usahkan perihal pembangkang, malahan untuk membuka mulut mengenai hal kerajaan pun begitu berat.  Pernah aku terima nasihat semasa bercakap di kedai kopi, ketika itu aku membangkitkan hal berkaitan FTA antara Malaysia dan US.  Maka kawanku terus cakap “hey, jangan cakap kuat-kuat sangat, nanti orang dengar!”

Pernah juga dinasihatkan rakan sekerjaku apabila aku mengajaknya ke ceramah pembangkang.  Katanya “engkau tak takut ke kena hantar jauh-jauh nanti?”.  Kalau mahu dicoretkan disini, memang tak habis dibuatnya.

Begitulah suasana yang dialami masyarakat sekarang.  Tindakan kerajaan melaksanakan AUKU dan Akujanji begitu berkesan menakut-nakutkan rakyat untuk berbicara soal politik.  Bagi kerajaan, politik hanyalah untuk ahli politik dan untuk rakyat hanyalah ketika membuang undi 5 tahun sekali.  Begitu sempit sekali definisi yang digambarkan kerana takutkan bahana kehilangan kuasa.  Segala kekuasaan digunakan demi kepentingan parti kolot dan diri yang tamak.

Dek kerana itu, rakyat begitu berang dan meluahkannya dalam PRU lepas.  Apa tindakan kerajaan selepas ini?  Adakah semakin mengetatkan akta atau melonggarkannya?

Bagiku, mereka akan terus bercelaru selagi tidak mengikut panduan kehidupan yang sebenar.  Dan aku sarankan kepada rakyat Malaysia semua agar berani berbicara dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.  Usah gusar lagi kerana nyawa BN semakin di penhujung.

Buangkan sifat takut kerana Pakatan Rakyat akan mengambil alih kepimpinan negara!