Isu Semasa


Setelah sedikit pemerhatian dibuat, andaian yang paling tepat kepada situasi pertukaran portfolio Pak Lah-Najib adalah untuk menjatuhkan Najib.  Seperti tulisanku sebelum ini, proses peralihan kuasa adalah seerti dengan proses menyingkirkan Najib.  Maka rekod ‘Timbalan Takkan Jadi PM’ akan terus berkekalan.

Memindahkan urusan ekonomi Negara kepada Najib memperlihatkan penambahan beban kepada Najib agar menumpukan soal ekonomi yang kian lumpuh sedangkan di pihak Pak Lah masa ini digunakan sebaiknya untuk perancangan menjatuhkan Najib.  Najib bukanlah pakar ekonomi dan ia akan memaksa Najib melakukan banyak kerja untuk memulihkan kembali ekonomi tanpa sempat memikirkan soal politiknya.  Dalam keributan Najib melaksanakan agenda pemulihan ekonomi, mungkin satu ‘isu’ bakal digemparkan untuk menghumban Najib.  Alasan Pak Lah bahawa memberikan portfolio Kementerian Kewangan kepada Najib sebagai pelan peralihan awal kepada jawatan PM adalah dangkal.  Pak Lah memberikan gambaran bahawa Kementerian Kewangan adalah lazimnya dipegang oleh PM.  Sejarah telah menyatakan bahawa perlantikan jawatan Menteri Kewangan kepada bakal PM adalah titik tolak kepada kejatuhan ahli politik tersebut.  Lihat apa terjadi kepada Ku Li dan Anwar.  Maka awaslah Najib!

Dengan skandal pembunuhan Altantuya, kes liwat Saiful serta komisyen Sukhoi bakal membawa Najib ke lembah kejatuhan.  Semalam dengan serta merta Pak Lah mengambil alih Kementerian Pertahanan berkuatkuasa hari Rabu (semalam) yang membawa implikasi parah kepada Najib.  Segala rekod serta fail yang belum sempat dikemaskini serta mungkin ada urusan yang masih dalam progress memberi impak positif kepada Pak Lah membongkar perihal Najib.  Boleh dikatakan peralihan portfolio lebih mengejutkan berbanding pertukaran kerajaan BN kepada PR.  Jika Anwar memberi tempoh kepada Pak Lah beberapa hari untuk memberi respon terhadap pertemuan dengan PR tetapi Pak Lah tanpa notis kepada Najib telah mengambilalih kementeriannya.  Menampakkan Pak Lah adalah pemimpin zalim walaupun nampak lembut.  Ia mengingatkanku kata-kata seorang sahabat bahawa jangan lihat Pak Lah pada luarannya, otaknya lebih hebat daripada Mahathir…otak jahat!

Penahanan Raja Petra (ISA) mungkin telah memberi pelbagai input berguna kepada Pak Lah kerana Raja Petra banyak mendedahkan isu berkaitan Najib.  Tempoh sekarang hingga Jun 2010 sudah cukup untuk Pak Lah merencanakan plan terbaik.  Dan disebabkan itulah Muhyiddin meminta Pak Lah mempercepatkan pelan peralihan.  Kejatuhan Najib bermakna kejatuhan juga untuk Muhyiddin.  Regu Najib-Muhyiddin sebagai pemimpin utama bakal menjadi khayalan semata-mata.

Dan sms berkaitan Muhyiddin masuk PKR yang tersebar bukan andaian kosong.  Jika Najib tersingkir, tidak mustahil Muhyiddin bakal beralih ke PKR atau PR.

Harga minyak global turun mendadak dalam pasaran yang sepatutnya memberi khabar gembira kepada rakyat Malaysia (betul ke?). Itu ungkapan yang yang diterjemahkan disebalik kata-kata Pak Lah bahawa harga minyak tempatan bergantung kepada harga global. Namun mengikut logic para pro pembangkang, ia sepatutnya menjadi kebimbangan kerana pendapatan GLC Negara, Petronas akan merudum untuk tempoh ini. Malah sumbangan Petronas kepada kerajaan juga bakal berkurang.

Yang mana betul sekarang? Pak Lah atau pro pembangkang? Aku lihat Pak Lah telah bocor tembelangnya. Penurunan harga minyak global menyebabkan kewangan Negara juga susut dan benar karangan sahabat blogger bahawa sekarang rakyat yang memberi subsidi kepada kerajaan sekarang. Secara mudah perkiraannya :

1 barrel(tong) = 159 liter
1 USD = RM 3.45
harga minyak semasa = USD92.7 setong

Dulu USD145 x 3.3 (Rate semasa) / 159 liter = RM3 – RM0.30 (Subsidi) = RM2.70
Skrg USD93 x 3.45 (Rate semasa) / 159 liter = RM2 – RM0.30 (Subsidi) = RM1.70

Kerajaan jual => RM2.55
Harga tanpa subsidi => RM2.00
Kita tanggung kerajaan = RM0.55 per liter.

Lu Pikir La Sendiri!

Indeks di Bursa Malaysia juga terus merudum, membayangkan penurunan yang paling teruk selepas Pilihanraya Umum ke-12 iaitu bakal mencecah bawah 1000 mata. Dalam kekalutan ini, tidak semena-menanya Pak Lah memberi baton Menteri Kewangan kepada Najib. Entah apa perkiraan Pak Lah yang Najib mampu mengubah ekonomi Negara. Portfolio Menteri Pertahanan pula diambil oleh Pak Lah. Manakala angin peralihan kuasa Pak Lah-Najib pada 2010 terus ditiup Pak Lah. Seakan-akan ada kaitannya antara pertukaran portfolio kementerian dengan hal peralihan kuasa. Benar dakwaan salah seorang ketua bahagian UMNO bahawa peralihan kuasa adalah rasuah politik tertinggi yang berlaku sekarang.

Tidak juga aku menolak kemungkinan kegoyahan kepercayaan Pak Lah kepada Najib terhadap pelan peralihan hingga menuntut penyerahan kementerian kewangan (lubuk duit) kepada Najib. Juga ada yang percaya bahawa Pak Lah gagal memikul tanggungjawab ekonomi Negara lantas memindahkan beban kepada Najib (bom terbaru kepada Najib).

Dalam sidang media Pak Lah, Anwar dikatakan ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.  Maka tindakan undang-undang (ISA?) boleh diizinkan terhadap Anwar.  Adakah ini pelan terbaru Pak Lah yang bakal mencetuskan gelora reformasi terbaru kerana umum mengetahui ramai pengikut setia Anwar sudi berarak di jalanan dan juga kita semua mengetahui zaman Pak Lah adalah jaguh kepada provokasi pihak berkuasa.  Jika ini terjadi, negara akan menjadi seperti 1998 malah mungkin lebih hebat.  Lantas undang-undang darurat digunakan.

Ramai berkata Anwar bohong sebab tak jadi tukar kerajaan pada 16 September 2008.  Terpulang kepada semua untuk menilainya.  Namun pada sidang media semalam, jelas Anwar berkata Pakatan Rakyat mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan.  Rundingan untuk bertemu Pak Lah secara rasmi dan teratur untuk proses pengambilalihan kerajaan sedang diaturkan.

Sebaliknya Pak Lah menjawab ia hanya sandiwara dan pertemuan dengan Pakatan Rakyat untuk proses pertukaran kerajaan tidak perlu.  Tambahnya jika dipersetujui pertemuan itu, Anwar akan mereka cipta cerita yang Pak Lah sudah bersetuju untuk peralihan kerajaan.  Itu jawapan Pak Lah.  Juga Pak Lah mencabar untuk Anwar mengemukakan senarai ahli parlimen BN yang akan sertai Pakatan Rakyat.

Mengapa Anwar perlu jumpa Pak Lah?  Dan mengapa Pak Lah tidak mahu jumpa Pakatan Rakyat?

Anwar perlu jumpa Pak Lah kerana kuasa tertinggi kerajaan sekarang adalah pada Pak Lah.  Proses peralihan bermakna termasuk menggantikan kepimpinan tertinggi negara.  Oleh sebab itu perlu diadakan pertemuan tersebut untuk membincangkan proses peralihan yang teratur.  Ia amat perlu kerana proses ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.  Kedua-dua pihak (BN dan PR) perlu duduk semeja membincangkan proses peralihan yang tidak menggugat perjalanan hidup rakyat Malaysia.  Tidak perlu mempersoalkan isu ia adalah sandiwara.

Tindakan Pak Lah mengelak pertemuan dengan PR menimbulkan tanggapan bahawa ketakutan berada di pihaknya.  Malah cabaran supaya menyatakan nama-nama ahli parlimen BN yang akan beralih juga adalah tindakan yang dianggap pengecut.  Pengecut kerana sejarah Pak Lah memang begitu.  ISA, ugutan dan hukuman banyak kali diamalkan oleh kerajaan BN sejak sekian lama.  Media tidak seharusnya menjadi platform untuk proses peralihan.  Pertemuan dan perbincangan yang rasmi adalah prosesnya.

Melihat tindakan Tun Mahathir yang akan kembali semula ke pangkuan UMNO, juga petanda bahawa akan tumbangnya BN.  Tun pernah berkata ketika beliau keluar dari UMNO dahulu bahawa beliau akan kembali semula menyertai UMNO setelah Pak Lah letak jawatan.  Pada mulanya Tun dikatakan akan menyertai UMNO pada 17 September.  Aku membayangkan pada 16 September itu BN tumbang iaitu hari Pak Lah letak jawatan.  Sekarang Mukhriz berkata Tun akan sertai UMNO sebelum 1 Oktober, yang memperlihatkan Pak Lah akan berundur sebelum itu lagi.

Semalam amat sukar untuk mengakses siaran langsung sidang media DS Anwar Ibrahim.  Semua web yang menyiarkannya begitu susah untuk diakses sehinggalah lewat petang.  Sudah jelas bahawa Anwar begitu yakin dengan pertukaran kerajaan dalam kenyataannya.

Serentak dengan itu, semua web pro pakatan menyiarkan kenyataan Anwar dan disusuli dengan ulasan-ulasan yang berkaitan.  Aku buka portal akhbar online utusan dan berita harian, satu berita pun pasal Anwar tak keluar lagi.  Sampailah dekat waktu berbuka pun tak keluar-keluar.

Andaian aku waktu itu ialah ketua-ketua editornya tengah pening nak tulis apa.  Tak pun tengah tunggu pihak atasan bagi arahan.  Pihak atasan pula tengah pening-pening nak bagi arahan apa.

Cukup dengan kenyataan DS Anwar bahawa Pakatan Rakyat sudah memiliki bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.  Bermakna akan ada ahli parlimen melompat ke PR secara beramai-ramai.  Antara benar atau tidak kenyataan itu, ia sudah menggugat keseluruhan kerajaan yang mentadbir Malaysia sekarang.

Apa tidaknya, lihat saja UMNO yang kian bergolak, cadangan Gerakan, SAPP serta orang kanan MCA untuk keluar Barisan Nasional.  Malahan tindakan 50 orang ahli BNBBC melawat Taiwan dan sekarang dikatakan pula berpindah ke Hong Kong adalah menifestasi serangan psikologi DS Anwar.  Logiknya tidak timbul soal lawatan sambil belajar secara besar-besaran seperti itu di tambah pula pada bulan Ramadan ini yang mana antara kegiatan utama ahli parlimen di bulan ini adalah melawat kawasan serta berbuaka puasa bersama rakyat.

Muhyiddin, Rais Yatim, Najib Razak dan Zaid Ibrahim sudah memberi signal bahawa Pak Lah sudah tidak mampu untuk menyelamatkan keadaan.  ISA kepada tiga orang juga tidak kena pada isunya.  Sedangkan Datuk Ahmad bersama penyokongnya yang bertindak mengoyak gambar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat lebih besar kesan perkaumannya.

Mana-mana aku pergi pun orang ramai sudah biasa berbicara agenda 16 September.  Tidak terkecuali anak-anak muda.  Inilah yang menjadi kegusaran Pak Lah.  Kerana kini dia baru faham yang kuasa ada pada rakyat.

Ramai mengatakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ini berlangsung hambar.  Betul ia hambar dan para menteri juga mengakuinya.  Paling hambar dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.  Wajah ceria di atas pentas utama hanya terpancar pada DYMM Tuanku Mizan dan Permaisuri.  Boleh ditafsirkan dari semua wajah pemimpin  negara kegusaran yang semua tahu.

Melompat parti untuk menyertai Pakatan Rakyat dikatakan tidak amanah dan mengingkari janji.  Suatu ugutan yang memperlihatkan kekalutan serta tidak yakin dengan rakan-rakan sepimpinan.  Kerana UMNO/Barisan Nasional tahu mejoriti ahli parlimennya dididik dengan kemewahan dan wang.  Jadi mudah sahaja mereka berpaling tadah jika dirasakan kelebihan apabila melompat parti.  51 tahun mereka beroleh kepercayaan British untuk mentadbir negara.  Juga hanya dengan satu perjanjian dan pilihanraya ketika itu hanyalah gimik agar negara bebas daripada British.

Rakyat kini semakin sedar bahawa selama ini mereka seharusnya beroleh lebih daripada yang ada sekarang.  Bersyukur hanya ungkapan pemerintah untuk meredakan rakyat sejak sekian lama.  Kefahaman tentang islam yang semakin baik mendatangkan makna syukur yang hakiki kepada tuhan pencipta dan bukannya kepada pemimpin.  Akhirnya dangkal perasaan kita apabila mendengar supaya bersyukur dengan harga minyak sekarang yang masih rendah berbanding Singapura.

Apabila menyentuh soal strategi untuk perubahan pada 16 September ini, aku katakan 70% bakal berlaku.  2 minggu mendatang ini bakal menyaksikan suatu kegemparan isu dan corak politik Malaysia yang pasti menjadi sejarah ulung. 

Tiada istilah khianat apabila kita membawa amanah seseorang itu ke tempat yang lebih baik.  Rakyat memilih pemimpin agar mereka mentadbir dan memelihara negara dengan baik.  Itulah rakyat yang prihatin kepada negaranya.  Pada Mac lalu, mereka memilih pemimpin BN agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik bukan semata-mata memilih BN.  Jadi peralihan pemimpin pilihan mereka kepada Pakatan Rakyat bukanlah khianat kerana pemimpin mereka itu dapat berkhidmat dengan lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

 

 

Lafaz sumpah Saiful Bukhari sehari sebelum penamaan calon dijangka tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada kempen PKR untuk memenangi Parlimen Permatang Pauh.  Majlis tersebut dianggap strategi untuk melumpuhkan keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional.  Setelah berita sumpah ini disiar di televisyen, hanya kutukan diterima oleh Saiful oleh orang ramai.  Nyatalah konspirasi yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim telah menusuk ke dalam hati setiap warga Malaysia.  Tiada yang istimewa dalam strategi ini sekadar pelengkap jadual ‘team’ strategi UMNO.

Saiful tersilap langkah seumur hidupnya dengan memilih Najib sebagai rujukannya.  Jika kes liwat Saiful itu adalah strategi politik BN, maka Saiful patut kesal dan seharusnya menuntut ganti rugi serta memohon kerakyatan negara lain kerana ternyata ahli strategi BN gagal mencatur strategi terbaik bagi dirinya.  Dan jika memang betul Saiful diliwat, sepatutnya tidak perlu hebahan sebegini kerana memalukan diri sendiri.  Dia sepatutnya faham bahawa media bukanlah lawan Anwar disebabkan doktrin bahawa media, Pak Lah dan BN itu adalah musuh rakyat marhaen.  Namun aku yakin bahawa kes liwat ini adalah palsu semata-mata.

Kesian si Saiful yang cetek ilmu politik tetapi mahu melibatkan diri hingga ke tahap ini.  Juga menunjukkan dia adalah mangsa AUKU yang mana telah menyekat hal ehwal politik di kalangan pelajar universiti.  Buat si Saiful, aku doakan agar diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah agar segera bertaubat serta keluar dari segala kekusutan ini dengan kembali kepada Islam yang syumul.

Pertamanya aku mengucapkan tahniah kepada DS Wan Azizah kerana pengorbanan beliau terhadap suaminya, DS Anwar Ibrahim.  Pengorbanannya bukan kerana memberi laluan kepada Anwar untuk pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, tetapi pengorbanan selama hampir tiga penggal menggantikan tempat Anwar di Permatang Pauh.  Daripada suri rumah yang tidak pernah menjangkakan akan menjadi ketua pembangkang di negara Malaysia hingga terpaksa mengembara ke serata pelusok negara menyatakan kebenaran.  Episod yang sepatutnya diambil pengajaran kepada semua wanita di samping meneladani kisah isteri Timbalan Presiden UMNO.  Bahawa wanita mempunyai peranan yang besar kepada suaminya, bersesuaian dengan peristiwa Isra’ Mikraj yang mana menyatakan golongan wanita adalah teramai dalam neraka dan salah satu sebabnya adalah mengingkari serta mengaibkan suaminya.

Permatang Pauh tidak akan melenyapkan Bandar Tun Razak dan Kulim Bandar Baharu.  Sudah aku katakan bahawa perang pilihanraya kecil adalah lebih hebat daripada pilihanraya umum.  Segala kelengkapan dan tentera akan dikerah bertempur di tempat yang kecil dan pastinya meletuskan pertempuran hebat.  Menang kalah sukar dijangka.

Pengumuman Wan Azizah meletakkan jawatan disusuli dengan siapnya laporan siasatan kes liwat II ke atas Anwar yang Menteri Dalam Negeri sendiri tidak tahu isi kandungannya.  Ternyata bom jangka telah disediakan oleh pihak lawan Anwar.  Pertempuran semasa pengiraan undi di jangka lebih mudah berbanding  ketika penamaan calon iaitu melepasi had kelayakan bertanding.  Lantas mengingatkan aku kepada calon heavyweight lain seperti Shamsul Iskandar dan Mohd Sabu.

Tidak perlu aku ulas berkaitan calon lawan kerana memang tiada tandingan.  Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan antara Anwar dan konspirasi.  Konspirasi yang lebih hebat kerana sekarang Anwar di pihak menyerang manakala konspirasi adalah di pihak bertahan berbanding sebaliknya ketika 1998.  Satu pasukan konspirasi yang boleh dikatakan amat kebal melibatkan PDRM, Mahkamah, Hospital, Putrajaya, SPR serta media di samping awak-awak yang bakal menunjukkan heronya di saat pemilihan UMNO yang makin panas ini.  Konspirasi ini akan terus bergandingan selagi hayat Pakatan Rakyat terus hidup.

Kenyataan Najib (malaysiakini) bahawa kerajaan sukar menang di Permatang Pauh seharusnya disusuli pengakuan beliau bahawa kerajaan hari ini gagal menangani hati rakyat.  Dan juga merupakan isyarat strategi kotor akan digunakan, masakan mereka akan mengaku kalah.

Aku melihat sejak akhir-akhir ini strategi pihak kerajaan sudah sampai ke tahap tepu.  Segala apa tindak tanduk mereka mudah di jangka dan mudah juga di patahkan oleh rakyat yang kian hari bertambah jelek dengan pemain mereka yang bernama media massa.

Kini strategi mereka mungkin ke arah kebenaran.  Menyatakan kebenaran dan melaksanakannya.  Tidak mustahil harga minyak akan diturunkan, kebajikan rakyat semakin dijaga dan ‘pemberat’ akan disingkirkan.  Namun mustahil mereka akan berjaya kerana perjalanan mereka adalah atas jalan penipuan dan kepalsuan semata-mata.

Tahniah Wan Azizah!

Aku sudah siap bertempur di Permatang Pauh.

Laman Berikutnya »