Pertamanya aku mengucapkan tahniah kepada DS Wan Azizah kerana pengorbanan beliau terhadap suaminya, DS Anwar Ibrahim.  Pengorbanannya bukan kerana memberi laluan kepada Anwar untuk pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, tetapi pengorbanan selama hampir tiga penggal menggantikan tempat Anwar di Permatang Pauh.  Daripada suri rumah yang tidak pernah menjangkakan akan menjadi ketua pembangkang di negara Malaysia hingga terpaksa mengembara ke serata pelusok negara menyatakan kebenaran.  Episod yang sepatutnya diambil pengajaran kepada semua wanita di samping meneladani kisah isteri Timbalan Presiden UMNO.  Bahawa wanita mempunyai peranan yang besar kepada suaminya, bersesuaian dengan peristiwa Isra’ Mikraj yang mana menyatakan golongan wanita adalah teramai dalam neraka dan salah satu sebabnya adalah mengingkari serta mengaibkan suaminya.

Permatang Pauh tidak akan melenyapkan Bandar Tun Razak dan Kulim Bandar Baharu.  Sudah aku katakan bahawa perang pilihanraya kecil adalah lebih hebat daripada pilihanraya umum.  Segala kelengkapan dan tentera akan dikerah bertempur di tempat yang kecil dan pastinya meletuskan pertempuran hebat.  Menang kalah sukar dijangka.

Pengumuman Wan Azizah meletakkan jawatan disusuli dengan siapnya laporan siasatan kes liwat II ke atas Anwar yang Menteri Dalam Negeri sendiri tidak tahu isi kandungannya.  Ternyata bom jangka telah disediakan oleh pihak lawan Anwar.  Pertempuran semasa pengiraan undi di jangka lebih mudah berbanding  ketika penamaan calon iaitu melepasi had kelayakan bertanding.  Lantas mengingatkan aku kepada calon heavyweight lain seperti Shamsul Iskandar dan Mohd Sabu.

Tidak perlu aku ulas berkaitan calon lawan kerana memang tiada tandingan.  Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan antara Anwar dan konspirasi.  Konspirasi yang lebih hebat kerana sekarang Anwar di pihak menyerang manakala konspirasi adalah di pihak bertahan berbanding sebaliknya ketika 1998.  Satu pasukan konspirasi yang boleh dikatakan amat kebal melibatkan PDRM, Mahkamah, Hospital, Putrajaya, SPR serta media di samping awak-awak yang bakal menunjukkan heronya di saat pemilihan UMNO yang makin panas ini.  Konspirasi ini akan terus bergandingan selagi hayat Pakatan Rakyat terus hidup.

Kenyataan Najib (malaysiakini) bahawa kerajaan sukar menang di Permatang Pauh seharusnya disusuli pengakuan beliau bahawa kerajaan hari ini gagal menangani hati rakyat.  Dan juga merupakan isyarat strategi kotor akan digunakan, masakan mereka akan mengaku kalah.

Aku melihat sejak akhir-akhir ini strategi pihak kerajaan sudah sampai ke tahap tepu.  Segala apa tindak tanduk mereka mudah di jangka dan mudah juga di patahkan oleh rakyat yang kian hari bertambah jelek dengan pemain mereka yang bernama media massa.

Kini strategi mereka mungkin ke arah kebenaran.  Menyatakan kebenaran dan melaksanakannya.  Tidak mustahil harga minyak akan diturunkan, kebajikan rakyat semakin dijaga dan ‘pemberat’ akan disingkirkan.  Namun mustahil mereka akan berjaya kerana perjalanan mereka adalah atas jalan penipuan dan kepalsuan semata-mata.

Tahniah Wan Azizah!

Aku sudah siap bertempur di Permatang Pauh.