Aku bukan pakar ekonomi tetapi sekadar pandangan dari perspektif orang biasa yang hari-hari baca akhbar. Apabila menyentuh soal berkaitan FTA (Free Trade Aggrement) antara Malaysia-Amerika (US), hingga sekarang ia masih berlarutan dalam peringkat rundingan. Dan membawa kepada pertukaran menteri dalam kabinet negara kita.

Aku ada terbaca dalam majalah Dewan Ekonomi dua tahun lepas berkaitan FTA antara US dengan negara-negara lain. Kebanyakkannya membawa impak negatif kepada negara yang menandatangani perjanjian tersebut dengan US. Sebagai contoh di Mexico yang berlaku lambakan jagung tempatan kerana jagung dari US lebih murah.

Kenapa perlu FTA dengan US?

Jika difikir logiknya, mungkin kita beroleh barangan import dari US dengan lebih murah dan ia pasti menggembirakan kerana negara kita amat bergantung dengan barangan US. Namun ia pasti membawa persoalan imbuhan yang diperolehi oleh US. Dan semestinya mereka mahukan keuntungan dari pihak mereka. Salah satunya ialah meluaskan pasaran serta menambah produk-produk mereka ke Malaysia yang mungkin sebelum ini tidak dapat ditembusi.

Melihatkan keadaan semasa, barangan keperluan terutama makanan di Malaysia sekarang semakin tinggi harganya seperti beras. Ini menambah kebimbangan jika FTA meluluskan kemasukan bahan tersebut dari US ke Malaysia. Sudah pasti ia membantutkan industri padi/beras negara walaupun ia menjadikan pengguna mempunyai pilihan beras murah dari US.

Aku melihat FTA Malaysia-US ini merupakan win-win situation. Kelebihan dipihak Malaysia ialah memperoleh barangan US dengan harga yang lebih murah sementara dipihak US adalah menambah produk mereka dalam pasaran Malaysia. Namun keburukannya ialah ia akan membantutkan usaha penghasilan produk tempatan kerana diakui kualiti dan penjenamaan produk kita jauh ketinggalan dibandingkan dengan US. Cuba bayangkan, anda mempunyai pilihan untuk memilih sama ada kasut Adidas (US) atau kasut Gombak (Malaysia)? Kita cenderung memilih Adidas kalau bukan pun kerana kualiti tetapi kerana jenama. Ia lebih menakutkan jika kasut Adidas turun harganya kerana FTA.

Jika FTA membuka peluang produk tempatan memasuki pasaran US, bolehkah ia bersaing di sana? Jika produk tempatan pun sukar menambat pengguna tempatan, masakan boleh ia maju di US. Kita tidak seperti rakyat Korea yang amat bangga dengan produk mereka.