Secara tersirat berkaitan isu muzakarah yang tiba-tiba meletup ini, perlu anda setuju bahawa UMNO gagal mendapat sokongan rakyat.  Sekali lagi aku menegaskan muzakarah sebenarnya bukan untuk kepentingan Melayu atau Islam, ia sebagai alat untuk memporak perandakan Pakatan Rakyat.

Siapa yang ‘bising’ pasal muzakarah? – Khir Toyo dan Tajul Rosli, mereka yang hilang kuasa dan pengaruh.  Tidak ubah seperti Abu Jahal yang menawarkan jawatan penting kepada Nabi s.a.w kerana dilihat Islam semakin mendapat tempat dihati masyarakat.  Begitulah kedua-duanya yang sedia menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS.

Kepentingan Melayu Islam?  Apa pendapat Isa Sabu, Ghani Othman, Adnan Yaakob dan Mohamad Hassan?  Sudikah bermuzakarah dengan PAS dan berkongsi kuasa di negeri-negeri mereka?  Apakah Melayu dan Islam hanya tergugat di Selangor dan Perak sahaja?  Bagaimana di Pulau Pinang dan Terengganu?  Sekali lagi diulang Terengganu adalah kedua termiskin di Malaysia – negeri yang hampir 95% rakyatnya Melayu.

Islam di Malaysia tergugat disemua negeri.  Lihat pusat perjudian hebat di Genting, kedai nombor ekor di mana-mana, anak luar nikah berleluasa, masalah sosial remaja dan macam-macam lagi.  Masalah ini lebih dominan untuk dibincangkan (muzakarah) oleh yang empunya kuasa tertinggi.  Di sinilah peranan utama UMNO sebagai parti teramai dalam komponen Barisan Nasional.  Isu kepentingan Melayu dan Islam patut dibincang oleh UMNO dalam Barisan Nasional.

Jika muzakarah PAS-UMNO berhasil (bukan PAS masuk BN), maka resolusinya hanya dapat dilaksanakan oleh pemerintah yang diterajui oleh UMNO/BN.  Aku meletakkan satu benchmark muzakarah, hapuskan judi.  Mampukah UMNO/BN melaksanakannya?  PAS tidak dapat melaksanakannya kerana bukan pemerintah.  Hanya berupaya tidak meluluskan premis judi di negeri-negeri yang ditadbir.

Kesimpulannya muzakarah timbul kerana UMNO gagal mendapat sokongan rakyat di Perak dan Selangor.  Selain melarikan isu besar kenaikan harga minyak dan sokongan semakin tinggi kepada Pakatan Rakyat.