Kejayaan pembangkang menguasai lima negeri dan menidakkan majoriti dua per tiga BN dalam Pilihanraya Ke-12 menunjukkan kebangkitan rakyat terhadap segala bentuk kerosakan yang dilakukan oleh pihak pemerintah.

Sebelum berlangsungnya proses pengundian, pembangkang telah ditekan dan seolah-olah dipermainkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).  Ia bermula dengan pemansuhan duti setem semasa hari pencalonan dan juga pemansuhan penggunaan celup dakwat.  Sebelum itu, daftar pemilih turut dipersoalkan setelah pelbagai pembongkaran dipaparkan oleh pihak pembangkang dan disertai juga oleh blog-blog.  Isu pengundi hantu dalam daftar pemilih hingga kini tiada penyelesaiannya.

Namun, setelah keputusan PRU ke-12 diumumkan yang membawa kemenangan besar kepada pembangkang hingga negeri Perak pun boleh jatuh, tiba-tiba ada pihak mengatakan kredibiliti SPR meningkat.  Sungguh pelik mendengar berita itu.  Adakah segala kemungkaran SPR sebelum ini dapat dihapuskan dengan mudah hanya dengan kekalahan BN yang teruk?  Bagaimana pula jika BN masih kekal dengan majoriti seperti tahun 2004?

Aku teringat kisah dongeng si pengembala kambing.  Suatu hari, oleh kerana bosan dengan hidupan dia yang asyik dengan kambing-kambing, dia mendapat idea untuk memporak perandakan orang kampung.  Dia menjerit meminta tolong orang-orang kampung kerana kambingnya dibaham harimau.  Kali pertama jeritanya itu membawa kepada satu gerombolan orang-orang kampung untuk menolongnya.  Tetapi mereka hampa kerana si pengembala kambing itu rupa-rupanya seorang penipu.  Begitu juga dengan jeritan kedua, orang-orang kampung juga ditipu.  Namun, kali ketiga orang-orang kampung menghukum si penipu itu dengan tidak menghiraukan jeritannya.  Maka kali ketiga itu juga memang betul datangnya harimau dan membaham kambing-kambingnya.

Daripada kisah di atas, bolehkah kita angkat si pengembala kambing itu orang yang tinggi akhlaknya kerana kambingnya sudah dibaham oleh si harimau?

Kemenangan besar pembangkang bukan kerana ketelusan SPR, tapi adalah kerana hukuman rakyat kepada si penipu!