Tahniah kepada Datuk Shabery Cheek yang berani berhadapan dengan Anwar Ibrahim dalam debat terbuka semalam.  Terima kasih juga kerana memberi peluang untuk siaran di televisyen.

Jelas sekali dalam debat itu, Anwar Ibrahim begitu mendominasi tajuk dengan fakta yang jelas ditambah dengan idea yang bernas.  Layaklah beliau untuk menerajui negara dalam bidang ekonomi demi kepentingan kita semua.  Jika sudah ada penyelesaiannya seperti yang dijelaskan Anwar, kita semua menuntut kerajaan melaksanakan penurunan harga minyak 50 sen.  Jika tidak, sila jelaskan mengapa tidak boleh.  Usah terus membiarkan rakyat mencemuh kerajaan.

Seperti rakan bloggers yang lain, saya juga bersetuju bahawa Shebery hanya menghentam peribadi Anwar seperti mengajak mahasiswa berdemonstrasi, perjanjian IPP pada zaman Anwar, ketundukan kepada IMF serta menentang Tun Razak yang menubuhkan Petronas.  Shabery juga tidak menjawab persoalan daripada Sdr. Zulkifli berkaitan penggunaan penjimatan subsidi termasuk ketika kenaikan 30 sen yang lepas.

Yang nyata, Shabery hanya menekankan kemiskinan yang bakal dialami Petronas jika harga minyak diturunkan.  Dan berkali-kali Anwar menjelaskan bahawa kita tidak menganggu kewangan Petronas untuk menurunkan harga minyak sebaliknya wang yang digunakan ialah dana yang diperuntukkan kepada kerajaan oleh Petronas.  Namun, dalam hujah seterusnya, Shabery terus mengatakan yang Petronas akan miskin – sesuatu yang jelas menyimpang daripada hujah Anwar.  Jika ada juri, rasanya tiada markah untuk Shabery.

Shabery bertindak menyerang peribadi Anwar adalah untuk mengajak Anwar membicarakannya, tetapi Anwar tidak terjerat sebaliknya memberikan hujah yang hebat berkaitan penurunan harga minyak kerana peruntukan masa hanya singkat.  Sikap sebegini amat popular dikalangan UMNO termasuk ketika aku berhadapan Timbalan Naib Canselor semasa berstatus pelajar iaitu taktik provokasi agar kita dilalaikan dengan hujah mempertahankan diri hingga lari daripada tajuk asal persoalan.  TNC aku orang UMNO?  Yes, jelas terpampang dalam bilik rasminya logo UMNO.

Kredit yang diperolehi Anwar cukup besar dalam debat itu dan aku merasakan amat silap sekali di pihak kerajaan kerana menyiarkannya di televisyen.  Moderator, Johan Jaafar juga terkedu dengan hujah Anwar dan soalannya juga seakan tidak menyengat pembangkang seperti yang berlaku dalam program debat perdana. Begitu juga dengan NC UUM, Nordin Kardi yang telah menjatuhkan imej para intelek apabila mempersoalkan apa kaitan IPP dengan harga minyak seperti yang dihujahkan oleh Anwar.  Sungguh memalukan dan aku cukup terkejut dengan tarafnya sebagai NC sebuah universiti apabila Nordin mengeluarkan soalan sebegitu.  Soalan terakhir Nordin kepada Shabery juga tidak masuk akal.  Bagiku ia sepatutnya diajukan kepada Anwar.

Juga menarik perhatianku ialah istilah subsidi.  Shabery menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk mendidik rakyat agar tidak bergantung dengan subsidi kerajaan lagi sebaliknya harus berdikari merasai harga minyak sebenar.  Lantas dihujahkan Anwar bahawa kerajaan sering menggunakan istilah sudsidi (sesuatu yang negative) dalam soal minyak sebaliknya istilah itu ditukar untuk perkara lain.  Memang betul, dalam perkara lain kerajaan mneggunakan istilah seperti rebat tunai, wang ehsan, bantuan, dana dan peruntukkan yang sama kaedahnya iaitu menyalurkan wang kepada rakyat.  Namun dalam isu minyak, kita ditekankan dengan istilah sibsidi yang negative bunyinya.

Sekali lagi aku mengucapkan tahniah kepada Shabery.  Aku rasakan, dalam kalangan ahli UMNO, jawatan paling rendah pun yang layak bagi Shabery ialah Presiden.  Kerana kepetahan pidatonya dan keberanian serta perubahan dalam kementeriannya telah mengalahkan Presiden, Timbalan, Naib-naib Presiden UMNO yang lain.

Maka Shabery tidak perlu letak jawatan walaupun tewas tetapi Pak Lah yang perlu letak jawatan.  Khaleed Nordin yang menyatakan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden pun sepatutnya rasa malu dengan shabery.