Orang Kemaman memang berani-itulah kesimpulan ringkasku mengenai isu pembelian Mercedes Benz oleh kerajaan negeri Terengganu pimpinan Ahmad Said.  Setelah Shebery Cheek berani tampil berdebat dengan Anwar Ibrahim, Ahmad Said yang juga dari Kemaman sekali lagi memanaskan kepala rakyat dengan isu ini.  Ahmad Said yang terkenal dengan gelaran Mat Payang meneruskan agenda menyerang Idris Jusoh dengan pendedahan kos penyelenggaraan kereta rasmi yang tinggi.

Apa tidaknya, setelah empat tahun pemerintahan Idris Jusoh, kos penyelenggaraan kereta dua kali ganda daripada harga kereta.  Oleh itu, alternatif membeli Mercedes Benz dilihat lebih jimat sekali gus mengingkari arahan penggunaan kereta nasional bagi kerajaan negeri dan persekutuan.  Hingga hari ini, Idris masih membisu setelah isu ini dibangkitkan.  Bermakna dalam masa singkat ini telah dua kali Idris dimalukan oleh orang dari Kemaman ini.

Syabas aku ucapkan kepada Ahmad Said kerana sekali lagi tegar dengan keputusan walaupun mendapat tentangan daripada pihak pusat.  Masih ingatkah kita peristiwa perlantikan Menteri Besar Terengganu yang begitu panas hingga Ahmad Said diugut akan dilucutkan keahlian UMNO dan juga pendakwaan oleh BPR?

Ternyata MB Terengganu ini bukan calang-calang orangnya hingga Pak Lah tunduk kepadanya.  Orang seperti inilah yang jarang-jarang kita temui dalam UMNO, rata-rata yang lain hanya angguk walaupun tidak setuju.

Mengikut geografi Terengganu, jarak antara utara (Besut) ke selatan (Kemaman) memakan masa 5 jam perjalanan.  Malah bagi Parlimen Hulu Terengganu sahaja kita boleh jama’ dan qasar jika bergerak dari hujung ke hujungnya.  Ini menunjukkan perihal kenderaan amat penting bagi exco negeri dan Menteri Besar menjalankan tugas mereka.

Selain itu, ia juga mendedahkan kualiti yang ada pada kereta Proton tidak begitu baik.  Sedikit sebanyak akan menjejaskan penjualan Proton Perdana selepas ini.  Namun dari segi positifnya, Proton perlu menjadikan isu ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti dan menjelaskan keadaan sebenar pasaran Proton Perdana.  Cuba bayangkan jika tiada arahan penggunaan kereta nasional sebagai kenderaan rasmi kerajaan?  Setakat mana kemampuan Proton sebenarnya?