KLpos telah memaparkan berita-berita eksklusif kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Yang menarik minatku ialah artikel ‘kembali kepada perjuangan pengasas bangsa’ yang dicoret sendiri oleh Ezam.

Ternyata Ezam telah lama ingin kembali kepada UMNO dengan syarat dasarnya terhadap rasuah berubah. Masakan tidak, PKR dan Pakatan Rakyat telah lama mendasarkan perjuangan untuk membanteras rasuah tetapi tidak dapat menambat hati Ezam – hanya UMNO dalam dirinya dengan syarat ia berubah.

Persoalan utamanya, adakah UMNO sudah merubah dasarnya?  Selepas PRU ke -12 tidak pernah jerung rasuah didakwa di mahkamah…maka di mana panduan yang digunakan Ezam hingga sanggup menyatakan UMNO telah merubah dasarnya.

Ezam juga bakal terlucut keahliannya dalam GERAK jika menjadi ahli aktif dalam UMNO seperti yang telah dipaparkan di web rasmi GERAK. GERAK yang diasaskannya itu dilihat sebagai platform terbaik membanteras dan membongkar rasuah kerana sifatnya yang non-partisan (neutral). Maka betul perlembagaannya dengan tidak membolehkan ahlinya aktif dalam parti politik kerana dibimbangi ‘bias’ kepada parti yang dianggotainya.

Dan apabila Ezam menjadi ahli UMNO lebih-lebih lagi apabila dia sendiri bersetuju bertanding jawatan ketua pemuda, maka peranannya untuk membanteras rasuah dilihat hanya omongan kosong.

Tidak timbul soal Ezam sebagai agen Anwar kerana :

  • Orang yang dikatakan bertanggungjawab membawa Ezam kembali kepada UMNO ialah Datuk Wan Farid, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang merupakan orang kanan Pak Lah
  • Anwar mempunyai ramai kenalan dalam UMNO yang boleh sahaja menjadi agennya.
  • Kemasukan Ezam ke dalam UMNO pasti meletakkan dirinya sukar untuk berperanan penting (jawatan) jika Ezam masuk UMNO dengan rela hati. Namun jika Ezam masuk UMNO melalui kroni Pak Lah, maka pasti selesa bagi Ezam untuk berpolitik-ini terus menolak tohmahan Ezam sebagai agen Anwar

Dari pengamatanku, Ezam adalah strategi Pak Lah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO melalui sayap pemuda dan menangkis cubaan pasukan Najib. Ezam dilihat aset penting bagi Pak Lah untuk sayap pemuda setelah Khairyl menjadi liabiliti.

Akhirnya para penyokong dan peminat anti-rasuah telah kehilangan idolanya…hilang bukan kerana kembali kepada yang Maha Esa, tapi hilang kerana pendirian.

Aku bimbang sekiranya mereka semua akan jemu dengan slogan anti-rasuah kerana mudah benar manusia berubah.  Jika jemu dengan anti-rasuah, tidak mustahil untuk rasuah.

Dan jika tidak mustahil untuk rasuah…tunggulah balasan Yang Maha Berkuasa.

Seperti diduga oleh sahabatku bahawa ada yang tidak kena dengan pengumuman Pak Lah untuk membentuk Suruhajaya Kehakiman dan membebaskan BPR. Jangkaan pertama daripada tindakan itu ialah menghimpit Tun Mahathir yang kian ghairah mendesak Pak Lah hingga terkeluar Tun dari parti utamanya. Dan jangkaan kedua ialah kemasukkan orang yang kuat menentang rasuah…terlalu mustahil untuk aku menyetujui apabila dikatakan Anwar akan masuk UMNO…dan aku juga lupa pada Ezam yang mengepalai GERAK.

Alasan utama Ezam masuk UMNO ialah kerana Pak Lah sudah berubah dengan beberapa janji manis selepas Pilihanraya Umum lalu.

Akhirnya aku dapat simpulkan bahawa suatu drama sudah dibongkar. Penubuhan GERAK oleh Ezam dan katanya penumpuan kepada NGO itu menjadi keutamaan hingga memaksanya keluar Keadilan. Situasi yang dicipta untuk melepaskan alasan kukuh. Dan Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman serta kebebasan BPR juga situasi yang dicipta untuk alasan kukuhnya masuk UMNO. Mencipta sesuatu untuk dijadikan alasan. Ini mengukuhkan lagi omongan rakyat di warung bahawa Pak Lah hanya menabur janji – kerana ada sesuatu disebaliknya.

Keputusan Ezam masuk UMNO juga dilihat sebagai langkah terdesaknya untuk menyelamatkan karier politik yang makin jauh ketinggalan. Strateginya keluar Keadilan kerana dirasakan parti itu tidak mampu bertahan lama dan hanya ada satu kerusi di Parlimen ketika 2004. Berbanding UMNO ketika itu yang bagaikan raksasa bermaharajalela di parlimen. Mungkin benar kata-kata orang-orang kanan PKR bahawa Ezam keluar Keadilan dahulu adalah untuk menyertai UMNO…tapi bergiat dahulu seketika dalam GERAK untuk mengelakkan tohmahan jika terus masuk UMNO.

Setelah PRU ke-12, PKR (Keadilan) mendapat banyak kerusi dan membentuk Pakatan Rakyat bersama Pas dan DAP. Ezam yang tidak berparti melihat situasi ini dengan penuh minat dan gelombang reformasi dalam jiwanya mengajaknya kembali ke kancah politik kepartian. Jika dia kembali bersama PKR, mungkin dilihat sebagai penumpang kemenangan – dan tidak berpenat lelah bersama pejuang PKR lain ketika jatuh dahulu. Begitu juga dengan kedudukannya dalam PKR, apa jawatan yang diperolehi jika kembali semula ke pangkuan PKR? Maka dipilihnya UMNO yang mungkin telah menggambarkan jawatan untuknya…paling tidak pun naib ketua pemuda…Dia juga memilih UMNO yang parah untuk membuatkan anggapan sesetengan pihak bahawa Ezam adalah hero sepanjang zaman.

Hero reformasi ketika Anwar dihumban ke penjara…

Hero anti rasuah…

Hero melayu disaat UMNO semakin tenat…

Sebenarnya tiada apa yang ada pada Ezam…sama seperti rakyat awam yang mencari sesuap nasi untuk menampung kehidupan…cuma Ezam tak suka makan nasi – dia suka ayam KFC