Kita tutup kes Saiful.  Tiga hari lagi bakal menentukan adakah rakyat Permatang Pauh (yang mewakili seluruh rakyat Malaysia) akan memilih bakal Perdana Menteri yang baru.  Pilihanraya kecil ini dilihat sebagai medan memilih Perdana Menteri.  Anda sendiri boleh bayangkan ianya pertandingan untuk mengekalkan Pak Lah atau menukar yang baru, Anwar Ibrahim.  Bandingkan karektor kedua-duanya.  Idea, karisma, ucapan dan keluarga.  Aku boleh katakan tidak waras jika seseorang itu mengatakan Pak Lah lebih baik daripada Anwar.

Baki beberapa hari ini juga bakal menyaksikan serangan bertubi-tubi daripada BN.  Sumpah Saiful, exco Perak dituduh rasuah, PM turunkan harga minyak, laporan mafrel berkaitan 83 pengundi dalam satu rumah, kes pengundi hilang dalam daftar pemilih dan banyak lagi yang bakal menyusul.  Hebatnya minggu ini.

Perancangan ini akan berterusan hinggalah saat pengumuman keputusan pada malam 26 Ogos ini.  Yang menjadi kebimbangan aku ialah pada hari mengundi.  Ianya jatuh pada hari bekerja dan kebanyakan tempat pembuangan undi ialah di sekolah.  Mereka yang bekerja pastinya hanya berpeluang membuang undi pada waktu rehat iaitu antara 1 tengah hari dan 2 petang.  Tentunya menimbulkan kesesakan yang amat luar biasa pada waktu itu lebih-lebih lagi ditambah dengan bilangan petugas parti yanh mencecah puluhan ribu orang.  Satu jam yang amat runcing dan ini boleh membawa kepada suatu rancangan untuk mengurangkan jumlah mereka yang keluar mengundi.

Lafaz sumpah Saiful Bukhari sehari sebelum penamaan calon dijangka tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada kempen PKR untuk memenangi Parlimen Permatang Pauh.  Majlis tersebut dianggap strategi untuk melumpuhkan keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional.  Setelah berita sumpah ini disiar di televisyen, hanya kutukan diterima oleh Saiful oleh orang ramai.  Nyatalah konspirasi yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim telah menusuk ke dalam hati setiap warga Malaysia.  Tiada yang istimewa dalam strategi ini sekadar pelengkap jadual ‘team’ strategi UMNO.

Saiful tersilap langkah seumur hidupnya dengan memilih Najib sebagai rujukannya.  Jika kes liwat Saiful itu adalah strategi politik BN, maka Saiful patut kesal dan seharusnya menuntut ganti rugi serta memohon kerakyatan negara lain kerana ternyata ahli strategi BN gagal mencatur strategi terbaik bagi dirinya.  Dan jika memang betul Saiful diliwat, sepatutnya tidak perlu hebahan sebegini kerana memalukan diri sendiri.  Dia sepatutnya faham bahawa media bukanlah lawan Anwar disebabkan doktrin bahawa media, Pak Lah dan BN itu adalah musuh rakyat marhaen.  Namun aku yakin bahawa kes liwat ini adalah palsu semata-mata.

Kesian si Saiful yang cetek ilmu politik tetapi mahu melibatkan diri hingga ke tahap ini.  Juga menunjukkan dia adalah mangsa AUKU yang mana telah menyekat hal ehwal politik di kalangan pelajar universiti.  Buat si Saiful, aku doakan agar diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah agar segera bertaubat serta keluar dari segala kekusutan ini dengan kembali kepada Islam yang syumul.

Pertamanya aku mengucapkan tahniah kepada DS Wan Azizah kerana pengorbanan beliau terhadap suaminya, DS Anwar Ibrahim.  Pengorbanannya bukan kerana memberi laluan kepada Anwar untuk pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, tetapi pengorbanan selama hampir tiga penggal menggantikan tempat Anwar di Permatang Pauh.  Daripada suri rumah yang tidak pernah menjangkakan akan menjadi ketua pembangkang di negara Malaysia hingga terpaksa mengembara ke serata pelusok negara menyatakan kebenaran.  Episod yang sepatutnya diambil pengajaran kepada semua wanita di samping meneladani kisah isteri Timbalan Presiden UMNO.  Bahawa wanita mempunyai peranan yang besar kepada suaminya, bersesuaian dengan peristiwa Isra’ Mikraj yang mana menyatakan golongan wanita adalah teramai dalam neraka dan salah satu sebabnya adalah mengingkari serta mengaibkan suaminya.

Permatang Pauh tidak akan melenyapkan Bandar Tun Razak dan Kulim Bandar Baharu.  Sudah aku katakan bahawa perang pilihanraya kecil adalah lebih hebat daripada pilihanraya umum.  Segala kelengkapan dan tentera akan dikerah bertempur di tempat yang kecil dan pastinya meletuskan pertempuran hebat.  Menang kalah sukar dijangka.

Pengumuman Wan Azizah meletakkan jawatan disusuli dengan siapnya laporan siasatan kes liwat II ke atas Anwar yang Menteri Dalam Negeri sendiri tidak tahu isi kandungannya.  Ternyata bom jangka telah disediakan oleh pihak lawan Anwar.  Pertempuran semasa pengiraan undi di jangka lebih mudah berbanding  ketika penamaan calon iaitu melepasi had kelayakan bertanding.  Lantas mengingatkan aku kepada calon heavyweight lain seperti Shamsul Iskandar dan Mohd Sabu.

Tidak perlu aku ulas berkaitan calon lawan kerana memang tiada tandingan.  Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan antara Anwar dan konspirasi.  Konspirasi yang lebih hebat kerana sekarang Anwar di pihak menyerang manakala konspirasi adalah di pihak bertahan berbanding sebaliknya ketika 1998.  Satu pasukan konspirasi yang boleh dikatakan amat kebal melibatkan PDRM, Mahkamah, Hospital, Putrajaya, SPR serta media di samping awak-awak yang bakal menunjukkan heronya di saat pemilihan UMNO yang makin panas ini.  Konspirasi ini akan terus bergandingan selagi hayat Pakatan Rakyat terus hidup.

Kenyataan Najib (malaysiakini) bahawa kerajaan sukar menang di Permatang Pauh seharusnya disusuli pengakuan beliau bahawa kerajaan hari ini gagal menangani hati rakyat.  Dan juga merupakan isyarat strategi kotor akan digunakan, masakan mereka akan mengaku kalah.

Aku melihat sejak akhir-akhir ini strategi pihak kerajaan sudah sampai ke tahap tepu.  Segala apa tindak tanduk mereka mudah di jangka dan mudah juga di patahkan oleh rakyat yang kian hari bertambah jelek dengan pemain mereka yang bernama media massa.

Kini strategi mereka mungkin ke arah kebenaran.  Menyatakan kebenaran dan melaksanakannya.  Tidak mustahil harga minyak akan diturunkan, kebajikan rakyat semakin dijaga dan ‘pemberat’ akan disingkirkan.  Namun mustahil mereka akan berjaya kerana perjalanan mereka adalah atas jalan penipuan dan kepalsuan semata-mata.

Tahniah Wan Azizah!

Aku sudah siap bertempur di Permatang Pauh.