Muzakarah antara PAS-UMNO adalah taktik UMNO untuk melaga-lagakan PAS dengan Pakatan Rakyat.  Isu kepentingan Melayu dan Islam sengaja dijadikan umpan untuk mengajak PAS bermuzakarah.  Supaya timbul syak wasangka PR kepada PAS.  Lantas merenggangkan hubungan PAS dengan PR.  Mengapa muzakarah ini timbul disaat UMNO semakin gawat dan bukannya ketika mereka selesa bertakhta dahulu.  Seperti yang sedia maklum, UMNO sering menolak saranan PAS.  Lihat sahaja isu Islam Hadhari, Perlaksanaan Hukum Islam, Sure Heboh, Penghormatan Tugu Negara, Kes Murtad dan sebagainya.

Begitu juga memperlekehkan idea PAS seperti cuti bersalin dan kerja 5 hari seminggu.  Termasuk menghina pemimpin PAS seperti pemakaian jubah seta serban.  Menekan sekolah agama rakyat (SAR), pelajar pengajian agama di luar negara.  Ternyata UMNO tidak ikhlas bermuzakarah bahkan sekadar strategi memporak perandakan PR.

Selain itu muzakarah juga sebagai menggoyahkan pandangan orang ramai terhadap ketelusan PAS membawa perjuangan Islam.  Sudah dasarnya PAS memperjuangkan Islam bermakna menolak kezaliman seperti ISA, rasuah (yang hingga kini masih belum bebas istilah UMNO dengan rasuah) dan ketidakadilan.  Amat mustahil UMNO mahu meninggalkan amalan tersebut dan menyetujui PAS.  Menyetujui PAS bermakna UMNO bersama Pakatan Rakyat!  Lagilah amat-amat mustahil.

Memang benar pendapat sesetengah pemimpin PAS bahawa muzakarah dengan UMNO hanyalah membuang masa dan adalah perangkap.  Penolakan PAS terhadap muzakarah juga adalah perangkap yang mana UMNO boleh memainkan isu bahawa PAS tidak mementingkan perpaduan Melayu dan Islam.  Oleh itu, pendekatan yang berhemah amat diperlukan pemimpin PAS dalam menangani isu ini.

Dan jika benar UMNO ikhlas mahu menjaga kepentingan Melayu dan Islam, sepatutnya mereka terlebih dahulu bermuzakarah atau berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.  Di sana masyarakat Melayu dan Islam adalah bukan majoriti dan diperintah oleh pemimpin bukan Islam dan bukan Melayu.  Di sinilah titik tolak muzakarah kepentingan Melayu dan Islam.  Di sini juga terbit isu DEB yang ditentang UMNO selepas PRU baru-baru ini yang dikatakan menidakkan ketuanan Melayu.  Yang lebih memudahkan ialah BN Pulau Pinang dipengerusikan sendiri oleh Pak Lah.

Jelas bahawa UMNO tidak ikhlas membela nasib orang Melayu dan Islam sebaliknya sentiasa mahu mencari peluang mengukuhkan cengkaman yang zalim kepada masyarakat Melayu dan Islam.

*Yang aku nampak, perkara yang ditetapkan oleh mufti dan majlis fatwa yang mereka sendiri lantik pun mereka tidak ikut.  Maka sarananku bermuzakarahlah dengan mufti dan majlis fatwa terlebih dahulu.