Apabila Abdullah Badawi angkat sumpah menyambung kontrak sebagai Perdana Menteri, aku cukup simpati dengan Najib Razak, Ali Rustam dan Muhyiddin Yassin. Simpati dengan nasib politik mereka yang asyik mengangguk serta akur akan kekuasaan Pak Lah.

Aku teringat semasa event Piala Asia tahun lepas. Malaysia bukan saja kalah semua perlawanan, bahkan dibelasah dengan teruk. Yang menarik perhatian ialah selepas perlawanan terakhir tu, Tengku Abdullah dan coach Norizan Bakar letak jawatan sebab rasa tanggungjawab beliau. Malaysia negara maju yang ada banyak kemudahan bola sepak tapi pencapaiannya amat teruk dan kini ranking dunia menunjukkan negara kita berada di tangga 166.

Begitu juga halnya dengan Pak Lah ni. Segala kemudahan seperti media massa, jentera kerajaan, kewangan dan undang-undang boleh digunakan dengan sepenuhnya. Maka, apabila pencapaiannya teruk sepatutnya situasi seperti yang melanda bola sepak negara perlu dicontohi. Pernah aku terbaca artikel supaya Haji Abdul Hadi, Presiden PAS meletak jawatan jika PAS gagal dalam misinya untuk Pilihanraya Umum ke-12 ini, dan aku amat bersetuju tetapi hendaklah ia berlawan secara adil dengan diberikan hak penyiaran di televisyen, akhbar harian, tiada manipulasi fakta, SPR yang telus dan tiada sekatan politik untuk penggiatnya seperti yang dinikmati golongan pemerintah.

Isu perletakkan jawatan ini aku bangkitkan bukanlah kerana emosi, ianya lebih kepada pengamatanku terhadap apa yang bakal berlaku pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Ianya ada dua kemungkinan. Yang pertama, BN akan pulih kembali sebagaimana seperti tahun 2004 iaitu memperoleh mandat 2 per 3. Bayangan kedua ialah, BN akan menjadi pembangkang di Malaysia dan Barisan Alternatif bakal mentadbir negara.

Kedua-dua perkara tersebutlah yang menjadi titik tolak tulisanku kali ini iaitu berkaitan nasib politik ketiga-tiga nama yang aku simpati tadi. Jika telahan pertamaku menjadi nyata, mereka semua terus kempunan untuk manguasai tampuk pemerintahan negara kerana pastinya kedudukan Pak Lah makin kukuh dan untuk penggal seterusnya menjadi orang nombor satu negara. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa pemimpin UMNO mempunyai puak-puak tersendiri. Ianya sudah menjadi bualan bebas masyarakat berkaitan puak Pak Lah dan puak Najib serta puak Muhyiddin. Cuma Ali Rustam yang agak jarang diperkatakan.

Jika telahan keduaku tepat, pasti semuanya musnah impian dan ketiga-tiga mereka hanya tinggal angan-angan. Sempat juga Pak Lah mencatatkan namanya dalam buku sejarah sebagai PM dua penggal.

Aku katakan begini kerana bagiku amat rugi apabila kita berada dalam perjuangan UMNO jika kita tidak mengejar pangkat dan kemewahan. Segala-galanya adalah berdasarkan material dan kurang cerdik jika sanggup habiskan harta, tenaga dan nyawa untuk perjuangan UMNO tanpa beroleh apa-apa ganjaran dunia. Hatta sudah cerdik berada dalam UMNO jika ganjaran berjuangnya beroleh projek membina sebiji bus stop daripada ikhlas semata-mata.

Tun Mahathir dan anakandanya Mukhriz telah mengajar ahli UMNO cara betul berpolitik dalam UMNO. Mereka yang ingin teruskan perjuangan perlu bertanding menjadi calon Presiden UMNO dalam pemilihan agong selepas ini. Hanya ini masanya dan tiada lagi selepasnya.