Terkejut aku apabila menerima sms daripada sahabat menyatakan harga minyak akan naik kepada RM2.70 esok.  Lantas aku menunggu berita terkini yang sahih daripada Group Media Prima.

Dalam sidang video di TV, Pak Lah yang berwatak ala si tenang itu mengumumkan kenaikkan petrol dan diesel.  Hanya rantaian sms yang mampu aku lakukan ketika itu sambil memacu kereta untuk memenuhkan tangki.

Panik benar aku rasakan waktu ini dan aku mengandaikan semua rakyat sehati denganku.  Barang siapa yang gembira dengan berita ini aku anggapkan sudah habis siuman.

Apa khabar Ezam?  Sanggup boss anda menyeksa kami sebegini rupa…

Tengah hari tadi aku baru selesai menghabiskan bacaan Suara Keadilan terbaru, sekali lagi Anwar Ibrahim menyatakan kebolehan Pakatan Rakyat menurunkan harga minyak jika berkuasa.  Mereka berjanji.  Kenaikan harga minyak global sebenarnya menguntungkan Malaysia selaku pengeluar minyak.  Mungkin aku kurang arif tentang ekonomi, tapi sifirnya mudah.  Apalah salahnya menggunakan keuntungan jualan minyak itu untuk menampung subsidi kepada rakyat.  Memang benar kata-kata MP Kubang Kerian bahawa sepatutnya kewangan Petronas dibentangkan di parlimen supaya kita semua tahu jumlah keuntungan sebenar Petronas dan kemana ia dibelanjakan.

Apa akan jadi pada ECER, WPI, NCER dan koridor ekonomi Sabah dan Sarawak selepas ini?  Kosnya pasti turut meningkat, dan jika ia diteruskan, akan timbul pertikaian kepentingan sama ada meneruskan projek itu atau sepatutnya ia digunakan untuk subsidi minyak?

Masih aku ingat suatu ketika aku menyertai kempen kesedaran kenaikan minyak 30 sen di Johor 2 tahun lalu.  Seorang pemuda memekik ‘ Apalah…30 sen pun nak kecoh!!!…’.  Entah apa nasibnya sekarang.