Penangan oleh rakyat Malaysia dalam Pilihanraya Umum (PRU) lalu masih belum dapat menghentuk media massa arus perdana. Memuji setinggi-tingginya langkah kerajaan (walaupun budak sekolah pun tahu ia adalah buruk) dan mempersenda serta mengeksploitasi berita pembangkang hingga menjadi negatif adalah masih tanggungjawab mereka. TIDAKKAH MEDIA PERDANA LUPA BAHAWA KEKALAHAN BESAR BN DALAM PRU LALU ADALAH DISEBABKAN JUGA OLEH TINDAKAN MEREKA INI? Malah timbulnya gerakan memboikot media dan munculnya bloggers kerana rakyat sudah mual dengan peranan sebenar media massa.
Lihat saja isu kenaikkan harga minyak hari ini, kerajaan dipuji lagi. Orang yang waras tidak akan berbuat demikian. Dan kita sebagai rakyat yang bijak juga tahu bukan mereka sebenarnya yang mahukan terbit berita sedemikian, bahkan jauh di sudut hati mereka menentang kenaikkan harga minyak ini. Namun disebabkan tugas dan ketua editornya, berita yang terbit adalah palsu semata-mata. Akhirnya kerjaya sebagai wartawan tidak lagi ikhlas.
Teringat ketika era reformasi 1998 dahulu, seorang kartunis telah melakarkan kartun yang menggambarkan gelagat antara suami dengan isteri. Si isteri bertanyakan kepada suaminya kenapa hari ini bawa payung ke tempat kerja? Dijawab si suami bahawa malam tadi berita TV3 bagi tahu ramalan hari ini akan panas terik. Begitu sinis kartun itu yang menggambarkan ketika itu dan hingga kini rakyat tidak mempercayai berita arus perdana.
Malahan masyarakat juga sudah lali untuk mengungkapkan kata-kata seperti
‘berita ni bukan boleh percaya sangat’
‘hari-hari hentam pembangkang’
dan sendiri sedia maklum dialog-dialog lain yang mungkin lebih seronok jika dikongsi.
Oleh sebab itulah masyarakat mula beralih kepada berita alternatif seperti akhar kepartian, website dan blog. Maka tidak hairan pada PRU lalu masyarakat bandar beralih memilih Pakatan Rakyat kerana bijak membandingkan berita dan mudah akses maklumatnya.
Kekalahan menteri penerangan juga adalah isyarat jelas rakyat untuk menyedarkan kerajaan bahawa media yang bebas dan telus diperlukan.
Sungguh malu jika membandingkan media kita dengan media luar yang sama taraf membangunnya. Jauh ketelusannya.