Selepas keputusan paling teruk dialami oleh BN dalam Pilihanraya Umum (PR), pengerusinya iaitu PM bertalu-talu diasak agar meletak jawatan.  Tapi sebaliknya pula berlaku apabila bekas PM yang meletak jawatan.  Dahulunya Tun Muhathir mendesak Pak Lah letak jawatan atas rasa tanggungjawab akibat kekalahan besar itu, tapi beliau pula yang meletak jawatan.  Mungkin Tun berasa bertanggungjawab atas kekalahan itu dan meletak jawatan bagi pihak Pak Lah…Oh! sungguh sejati persahabatan mereka – Itu adalah anggapan aku, yang jauh melencong daripada anggapan majoriti.

Akan tetapi sisi mata aku juga melihat tindakan Tun ini lebih kepada strategi terdesak ‘pasukan’ Tun untuk menjatuhkan Pak Lah setelah sejak kebelakangan ini Pak Lah begitu hebat dalam tindak tanduknya.  Memperhalusi kebebasan BPR, Suruhanjaya Kehakiman, Kes Lingam dan Kes Altantuya menyebabkan Pak Lah mendepani musuhnya dan kembali meyakinkan Golongan Eksekutif untuk berpihak kepadanya.

Tun yang dilihat mempunyai kekuatan daripada golongan akar umbi (melihat kepada cakap-cakap orang bawahan UMNO) dan segelintir pimpinan UMNO mengambil tindakan berbentuk ‘rayuan’ dengan meletak jawatan.  Sentimen melayu yang kuat dalam diri Tun mendorongnya mengambil tindakan itu kerana melayu amat lemah kepada rayuan.  Nada kekesalan terhadap kepimpinan Pak Lah membawa suatu bom jangka kepada ahli UMNO untuk membuka pencak serangan kepada Pak Lah setelah kecaman sebelum ini agak longlai untuk disahut.

Namun, tindakan Tun ini juga dilihat memberi kredit kepada Pak Lah.  Pak Lah boleh sahaja menggunakan isu perpaduan melayu untuk memegang kembali keutuhan parti setelah ura-ura ada MP UMNO akan lompat parti.

Atau adakah Pak Lah yang mengarahkan Tun meletak jawatan?

Seharusnya Pak Lah berasa bimbang dengan kedudukan Barisan Nasional dalam parlimen yang hanya bertunjangkan kekuatan 30 kerusi.  Di sebabkan inilah mungkin beliau rasakan isu memperkasakan BN dan UMNO lebih penting daripada krisis makanan global.  Ditambah dengan ‘ancaman’ daripada Anwar Ibrahim bahawa lebih daripada 30 ahli parlimen (MP) BN akan lompat parti.

Dan bayang-bayang bakal MP yang akan ‘melompat’ seakan-akan semakin terserlah sejak akhir-akhir ini.  Aku rasakan BN tidak perlu bimbang dengan MP di Sabah dan Sarawak tetapi yang patut dijaga adalah MP di semenanjung yang begitu licik politiknya.  Mungkin ada 4 atau 5 orang daripada Borneo akan ‘melompat’, dan selebihnya mungkin daripada semenanjung.

Cakap-cakap orang di warung mengatakan bahawa tidak mustahil ada menteri yang bakal menjadi ahli Pakatan Rakyat.  Lihat sahaja kehadiran di sidang parlimen, kadang-kadang Pakatan Rakyat lebih majoriti daripada kerajaan.  Jika situasi ini berlanjutan, BN bakal menjadi kerajaan boneka yang hanya mampu berbahas tapi tidak untuk memenangi undi MP.

Berlandaskan hujah ini, MP yang sentiasa peka kepada situasi politik dan untuk survival politik pada masa depan mungkin sudah mencongak untuk memilih samaada Pak Lah atau Anwar.  MP yang dimaksudkan termasuklah menteri, lebih-lebih lagi yang berpengalaman.  Itu sebabnya aku rasakan MP semenanjung perlu ‘dijaga’ rapi oleh BN.

Tun Mahathir sudah memberi peringatan akan ‘ancaman’ ini.  Atau adakah Pak Lah sudah menghidu kesudahannya?  Dan adakah beliau sudah bersiap dengan plan penamat yang lebih bermaruah daripada meletak jawatan?…Sungguh best drama ini…

Apabila Pak Lah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman, sorak sorai ahli Majlis Peguam bergema bagaikan menyambut kemenangan yang tidak diduga.  Lantas terkedu si Najib Razak, Muhyiddin dan Tun Mahathir.

Setelah seminggu serangan bertubi-tubi dilakukan kepada Pak Lah oleh mereka (Najib mungkin tidak kelihatan kerana gelaran Mr. Playsafe) supaya segera berundur akhirnya berjaya ditutup oleh Pak Lah dalam satu majlis ringkas.  Aku terbaca satu artikel dan menyetujuinya bahawa Najib tidak perlulah berangan untuk menjadi PM dengan berpegang pada janji Pak Lah iaitu beliau adalah pengganti Pak Lah.  Ini kerana rekod penipuan Pak Lah memang sudah diketahui…dah lupa ke pasal pembubaran parlimen?

Maka Najib yang hari-hari sebelumnya penuh dengan impian yang tinggi, pastinya haru biru bila Pak Lah mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu.  Ini telah menaikkan kredibiliti Pak Lah setelah isu kehakiman dan desakan penubuhan suruhanjaya menjadi perkara penting dalam kempen Pilihanraya Umum ke 12 baru-baru ini.  Najib mungkin tidak pandai mencongak politik Pak Lah walaupun nampak lemah kerana beliau mungkin juga lupa Pak Lah adalah PM yang mempunyai kuasa yang paling tinggi.  Najib tidak menunjukkan ‘taringnya’ sebagai pemimpin kerana dibimbangi jika ideanya yang bernas dikemukakan akan menaikkan saham Pak Lah, hanya berdiam diri termasuk ketika serangan kepada Pak Lah.

Pak Lah yang mempunyai ramai ahli strateginya mungkin telah menghidu taktik Najib dan kenyataan Pak Lah bahawa Najib adalah penggantinya hanyalah umpan semata-mata supaya Najib terus khayal.  Malah Muhyiddin yang menjadi jurucakap Najib juga akan tersepit dalam kancah ini.

Tun Mahathir pula mahu segera Pak Lah berundur kerana bimbang pelbagai lagi kerosakan yang beliau lakukan akan dibongkar satu persatu oleh Pak Lah.  Proksi Mukhriz digunakan sebaik-baiknya untuk menyerang Pak Lah.

Yang nyata, Pak Lah yang lembik itu tidaklah selembik yang kita lihat.  Ada suatu kuasa yang mengeraskan beliau iaitu kuasa PM!