Selepas keputusan paling teruk dialami oleh BN dalam Pilihanraya Umum (PR), pengerusinya iaitu PM bertalu-talu diasak agar meletak jawatan.  Tapi sebaliknya pula berlaku apabila bekas PM yang meletak jawatan.  Dahulunya Tun Muhathir mendesak Pak Lah letak jawatan atas rasa tanggungjawab akibat kekalahan besar itu, tapi beliau pula yang meletak jawatan.  Mungkin Tun berasa bertanggungjawab atas kekalahan itu dan meletak jawatan bagi pihak Pak Lah…Oh! sungguh sejati persahabatan mereka – Itu adalah anggapan aku, yang jauh melencong daripada anggapan majoriti.

Akan tetapi sisi mata aku juga melihat tindakan Tun ini lebih kepada strategi terdesak ‘pasukan’ Tun untuk menjatuhkan Pak Lah setelah sejak kebelakangan ini Pak Lah begitu hebat dalam tindak tanduknya.  Memperhalusi kebebasan BPR, Suruhanjaya Kehakiman, Kes Lingam dan Kes Altantuya menyebabkan Pak Lah mendepani musuhnya dan kembali meyakinkan Golongan Eksekutif untuk berpihak kepadanya.

Tun yang dilihat mempunyai kekuatan daripada golongan akar umbi (melihat kepada cakap-cakap orang bawahan UMNO) dan segelintir pimpinan UMNO mengambil tindakan berbentuk ‘rayuan’ dengan meletak jawatan.  Sentimen melayu yang kuat dalam diri Tun mendorongnya mengambil tindakan itu kerana melayu amat lemah kepada rayuan.  Nada kekesalan terhadap kepimpinan Pak Lah membawa suatu bom jangka kepada ahli UMNO untuk membuka pencak serangan kepada Pak Lah setelah kecaman sebelum ini agak longlai untuk disahut.

Namun, tindakan Tun ini juga dilihat memberi kredit kepada Pak Lah.  Pak Lah boleh sahaja menggunakan isu perpaduan melayu untuk memegang kembali keutuhan parti setelah ura-ura ada MP UMNO akan lompat parti.

Atau adakah Pak Lah yang mengarahkan Tun meletak jawatan?