Belum pun keputusan mahkamah diumum berkenaan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu, gendang pilihanraya kecil sudah bertalu dialun.  Ada dua kisah yang menarik – salah satunya kisah tragis penuh keheningan dan satu lagi kisah ketamakan kuasa makhluk bergelar manusia.

Dalam catatan ringkas YB Zulkifli (MP Kulim BB), beliau menyatakan hasrat dengan penuh kerelaan mengosongkan kerusi Kulim BB untuk ditandingi oleh DS Anwar Ibrahim.  Menyatakan kepentingan negara didahulukan tanpa mengharap apa-apa balasan.  Sementara lawannya dari UMNO sudah pun naik angin untuk berpencak.  Inilah yang aku katakan kisah ketamakan kuasa manusia.  Si Ezam dan Aziz (calon lalu yang tewas) sudah melobi untuk menjadi calonnya nanti.

Penawaran Ezam sebenarnya menambah satu lagi sangsi kepada pemimpin UMNO jika mereka teliti perihal strategi politik.  Jadi daripada kisah ketamakan kuasa itu kini berpecah pula kepada dua  cabang iaitu strategi politik dan juga membodek.

Aku huraikan perihal membodek terlebih dahulu.  Setelah Ezam mengisytiharkan diri untuk kembali kepada UMNO, ruangnya untuk menjadi pemimpin sangat tipis.  Memandangkan masih ramai pemimpin tertinggi yang perlu dicantasnya.  Malah yang sudah direject pun kini kembali semula hingga ada yang menjadi menteri.  Apabila Pakatan Rakyat yang digagaskan oleh Anwar Ibrahim dilihat menjadi musuh ketat BN sekarang, maka menumbangkan Anwar dalam pilihanraya adalah satu kejayaan yang cukup hebat.

Tidak hairan Ezam beriya hendak bertanding kerana dia tiada pilihan lain untuk mendaki puncak dengan lebih cepat selain jalan ini.  Dengan usianya yang makin meningkat, bermula dari bawah iaitu cawangan-bahagian-negeri-pusat amat lambat lebih-lebih lagi masih ramai yang mencurigainya.

Namun dalam cabang kedua iaitu perihal strategi politik,  Ezam adalah agen Anwar (sekaligus aku menidakkan hujah yang aku tulis dalam post sebelum ini)

Cukup menarik.  Rekod pilihanraya kecil di negara kita ini sering berpihak kepada parti pemerintah.  Walau hebat mana sekali pun calon pembangkang, sering berputih mata hatta parti pemerintah meletakkan seorang guru sekolah sebagai calon.  Oleh itu, aku membayangkan strategis PR mengarahkan Ezam yang berprofil tinggi untuk keluar PKR dan masuk UMNO.  Ia sebagai langkah supaya Ezam akan bertanding dalam pilihanraya menentang Anwar.  Strategi ini digunakan untuk memenangkan Anwar (pembangkang) dengan mudah iaitu melalui kemenangan percuma.  Sama ada menarik pencalonan atau melakukan kesilapan dengan sengaja ketika pencalonan.  Maka laluan Anwar ke Parlimen terbuka luas.  Mengapa menggunakan Ezam?  Jawapannya siapa lagi yang layak?

Namun cukup sukar untuk mengambil pilihan jalan kedua itu walaupun ia tidak mustahil bakal berlaku.  Dan langkah yang lebih selamat di pihak pemerintah ialah tidak mengisytiharkan mana-mana pilihanraya kecil atau lebih mudah kita katakan semua petisyen pilihanraya ditolak atau dikekalkan pemenangnya.