Apabila Pak Lah mengumumkan senarai kabinetnya, aku mendapat beberapa lontaran pendapat daripada beberapa sahabat bahawa krisis yang teruk bakal melanda politik Malaysia terutama UMNO.  Nama-nama yang tewas ‘sebelum’ Pilihanraya Umum baru-baru ini dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri seperti Dr. Mashitah, Muhammad Taib, Zaid Ibrahim dan Wan Farid.  Mereka ini mempunyai rekod buruk tersendiri dan pemilihan mereka mencetus satu lagi kontrovesi terbaru setelah belum selesai lagi kemelut perlantikan Menteri Besar.

    Mashitah dengan rekod fatwa sesatnya manakala Zaid Ibrahim pula adalah penentang utama perlaksanaan hukum islam.  Sementara Muhammad Taib masih dengan tuduhan rasuah, begitu juga Wan Farid yang dikatakan dalang utama insiden rusuhan di Batu Burok.  Ini belum ditambah menteri lain dalam kabinet yang menang dalam Pilihanraya Umum lalu.

    Pendapat sahabat-sahabatku tadi akhirnya menjadi kenyataan apabila Setiausaha UMNO, Radzi Sheikh Ahmad meletak jawatan dan diikuti pula Khir Toyo.  Rafidah yang disingkirkan pula mengeluar kenyataan untuk terus memimpin Wanita UMNO kerana dirasakan tergugat oleh tiga wanita lain iaitu Shahrizat, Azalina dan Noraini.  Anifah Aman dan Tengku Azlan yang dilantik sebagai timbalan menteri pula bakal menolak tawaran itu kerana alasan sepatutnya mereka dilantik sebagai menteri penuh.

    Kecelaruan dalam pentadbiran negara ini amat merunsingkan disaat kejatuhan ekonomi di Amerika Syarikat.  Dan sebagai alternatifnya, PAS-PKR-DAP telah sepakat untuk menubuhkan pakatan yang lebih erat untuk menerajui negara.  Perlu diingat bahawa pembangkang hanya memerlukan kira-kira 30 kerusi lagi untuk mentadbir Malaysia.  Pakatan pembangkang telah bersetuju untuk memilih Wan Azizah sebagai ketua sehingga Anwar Ibrahim bebas dari sekatan politik.  Ini adalah isyarat jelas sebagai langkah awal untuk penubuhan ‘Malaysia baru’.

    Untuk lebih meyakinkan, pembangkang perlu mengumumkan senarai kabinet bayangan kerana ianya bakal mencerminkan keyakinan rakyat kepada sebuah pentadbiran yang lebih baik.  Pastinya kita dapat menilai antara Menteri Penerangan BN dan Menteri Penerangan BA sebagai contohnya.

    Memandangkan mood rakyat masih segar terhadap pemilihan pemimpin, pembangkang perlu segera menguasai minda rakyat tentang alternatif pentadbiran negara.  Bukan sekadar retorik, tetapi ia adalah realistik dan membawa lebih manfaat kepada masyarakat seluruhnya.