Memang ligat think tank strategis parti politik waktu ini.  Dalam 2,3 minggu ini sahaja kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang sensasi.  Yang kadang-kadang diluar pemikiran ummat biasa seperti kita.  Kenaikkan harga minyak mendadak, rasuah orang kanan MB Selangor, pengakuan sumpah Raja Petra (RPK) dan kes liwat Anwar hari ini.  Pendek kata, sejak Pakatan Rakyat mendapat mandat besar dalam PRU Mac lepas, situasi seolah-olah menjadi begitu gawat termasuk parti politik bukan melayu.

Keadaan sekarang meletakkan kedudukan para politikus negara di ambang kemenangan atau kehancuran.  Sedikit kesilapan akan membawa kejatuhan karier politik yang aku lihat sekarang lebih tertumpu di antara Pak Lah – Najib – Anwar.  Masing-masing sedang bercatur untuk menguatkan pertahanan pasukan disamping menyerang musuh.

Perang tiga penjuru biasanya akan berlarutan menjadi dua penjuru iaitu kemungkinan besar berlaku penggabungan antara dua pihak untuk menumbangkan pasukan yang bersendirian.  Namun pasukan Anwar lebih dilihat mendominasi dengan rekod sokongan kuat dan juga dalam kebangkitan yang hebat setelah diketahui umum menjadi ‘mangsa’ suatu ketika dahulu.

Pak Lah dan Najib masih bersokongan secara tersurat walaupun dari dalamnya telah dihebohkan menjadi musuh.  Dan pengakuan bersumpah RPK dilihat senjata yang telah dilancarkan oleh pihak musuh, anda boleh memilih diantara musuh-musuh Najib.  Begitu juga kes terbaru Anwar, juga serangan musuh.  Namun Pak Lah merupakan mangsa serangan yang paling hebat setelah diserang dari dalam dan luar.  Secara terbuka dan senyap.  Cuma Pak Lah mempunyai pertahanan kental kerana kuasa ada padanya.

Pendek kata peperangan sekarang memasuki fasa yang genting dan Pakatan Rakyat seolah-olah memperolehi bonus kerana tarikh perhimpunan raksasa satu juta rakyat terbit tatkala situasi genting ini hadir iaitu 6 Julai nanti.  Tiga point penting untuk menggerakkan rakyat iaitu kenaikan minyak, kes Najib Al Tantuya dan Kes keselamatan Anwar yang menjadi pembakar semangat.

Betulkah kes-kes ini dicipta untuk mengcongak strategi politik?

Dalam konteks negara Malaysia ini, Pak Lah sepatutnya tiada masalah untuk menumpaskan lawannya kerana kuasa media ada padanya.  Ini kerana kuasa ini amat penting dalam menjana serangan kepada musuh.  Namun seperti yang dikatakan tadi, Pak Lah juga diserang dari dalam dan secara senyap.

Firasat aku, Najib semakin terperosok jika dia tiada pertahanan kental.  Pasukan Anwar semakin ke depan di antara mereka dan inilah yang membimbangkan  kerana  Anwar telah menerima ancaman bunuh…

Kebenaran Akan Muncul…