KLpos telah memaparkan berita-berita eksklusif kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Yang menarik minatku ialah artikel ‘kembali kepada perjuangan pengasas bangsa’ yang dicoret sendiri oleh Ezam.

Ternyata Ezam telah lama ingin kembali kepada UMNO dengan syarat dasarnya terhadap rasuah berubah. Masakan tidak, PKR dan Pakatan Rakyat telah lama mendasarkan perjuangan untuk membanteras rasuah tetapi tidak dapat menambat hati Ezam – hanya UMNO dalam dirinya dengan syarat ia berubah.

Persoalan utamanya, adakah UMNO sudah merubah dasarnya?  Selepas PRU ke -12 tidak pernah jerung rasuah didakwa di mahkamah…maka di mana panduan yang digunakan Ezam hingga sanggup menyatakan UMNO telah merubah dasarnya.

Ezam juga bakal terlucut keahliannya dalam GERAK jika menjadi ahli aktif dalam UMNO seperti yang telah dipaparkan di web rasmi GERAK. GERAK yang diasaskannya itu dilihat sebagai platform terbaik membanteras dan membongkar rasuah kerana sifatnya yang non-partisan (neutral). Maka betul perlembagaannya dengan tidak membolehkan ahlinya aktif dalam parti politik kerana dibimbangi ‘bias’ kepada parti yang dianggotainya.

Dan apabila Ezam menjadi ahli UMNO lebih-lebih lagi apabila dia sendiri bersetuju bertanding jawatan ketua pemuda, maka peranannya untuk membanteras rasuah dilihat hanya omongan kosong.

Tidak timbul soal Ezam sebagai agen Anwar kerana :

  • Orang yang dikatakan bertanggungjawab membawa Ezam kembali kepada UMNO ialah Datuk Wan Farid, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang merupakan orang kanan Pak Lah
  • Anwar mempunyai ramai kenalan dalam UMNO yang boleh sahaja menjadi agennya.
  • Kemasukan Ezam ke dalam UMNO pasti meletakkan dirinya sukar untuk berperanan penting (jawatan) jika Ezam masuk UMNO dengan rela hati. Namun jika Ezam masuk UMNO melalui kroni Pak Lah, maka pasti selesa bagi Ezam untuk berpolitik-ini terus menolak tohmahan Ezam sebagai agen Anwar

Dari pengamatanku, Ezam adalah strategi Pak Lah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO melalui sayap pemuda dan menangkis cubaan pasukan Najib. Ezam dilihat aset penting bagi Pak Lah untuk sayap pemuda setelah Khairyl menjadi liabiliti.

Akhirnya para penyokong dan peminat anti-rasuah telah kehilangan idolanya…hilang bukan kerana kembali kepada yang Maha Esa, tapi hilang kerana pendirian.

Aku bimbang sekiranya mereka semua akan jemu dengan slogan anti-rasuah kerana mudah benar manusia berubah.  Jika jemu dengan anti-rasuah, tidak mustahil untuk rasuah.

Dan jika tidak mustahil untuk rasuah…tunggulah balasan Yang Maha Berkuasa.