Orang Kemaman memang berani-itulah kesimpulan ringkasku mengenai isu pembelian Mercedes Benz oleh kerajaan negeri Terengganu pimpinan Ahmad Said.  Setelah Shebery Cheek berani tampil berdebat dengan Anwar Ibrahim, Ahmad Said yang juga dari Kemaman sekali lagi memanaskan kepala rakyat dengan isu ini.  Ahmad Said yang terkenal dengan gelaran Mat Payang meneruskan agenda menyerang Idris Jusoh dengan pendedahan kos penyelenggaraan kereta rasmi yang tinggi.

Apa tidaknya, setelah empat tahun pemerintahan Idris Jusoh, kos penyelenggaraan kereta dua kali ganda daripada harga kereta.  Oleh itu, alternatif membeli Mercedes Benz dilihat lebih jimat sekali gus mengingkari arahan penggunaan kereta nasional bagi kerajaan negeri dan persekutuan.  Hingga hari ini, Idris masih membisu setelah isu ini dibangkitkan.  Bermakna dalam masa singkat ini telah dua kali Idris dimalukan oleh orang dari Kemaman ini.

Syabas aku ucapkan kepada Ahmad Said kerana sekali lagi tegar dengan keputusan walaupun mendapat tentangan daripada pihak pusat.  Masih ingatkah kita peristiwa perlantikan Menteri Besar Terengganu yang begitu panas hingga Ahmad Said diugut akan dilucutkan keahlian UMNO dan juga pendakwaan oleh BPR?

Ternyata MB Terengganu ini bukan calang-calang orangnya hingga Pak Lah tunduk kepadanya.  Orang seperti inilah yang jarang-jarang kita temui dalam UMNO, rata-rata yang lain hanya angguk walaupun tidak setuju.

Mengikut geografi Terengganu, jarak antara utara (Besut) ke selatan (Kemaman) memakan masa 5 jam perjalanan.  Malah bagi Parlimen Hulu Terengganu sahaja kita boleh jama’ dan qasar jika bergerak dari hujung ke hujungnya.  Ini menunjukkan perihal kenderaan amat penting bagi exco negeri dan Menteri Besar menjalankan tugas mereka.

Selain itu, ia juga mendedahkan kualiti yang ada pada kereta Proton tidak begitu baik.  Sedikit sebanyak akan menjejaskan penjualan Proton Perdana selepas ini.  Namun dari segi positifnya, Proton perlu menjadikan isu ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti dan menjelaskan keadaan sebenar pasaran Proton Perdana.  Cuba bayangkan jika tiada arahan penggunaan kereta nasional sebagai kenderaan rasmi kerajaan?  Setakat mana kemampuan Proton sebenarnya?

Sejak dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said banyak belajar daripada kesilapan Idris Jusoh dalam melaksanakan tugas sebagai MB.  Dan antara tugas yang kini rancak dilaksanakan ialah membersihkan ‘kotoran’ Idris Jusoh dalam pentadbiran negeri.

Ramai menganggap perlantikan Tengku Putera sebagai Speaker DUN Terengganu adalah sebagai balasan atas sokongan beliau kepada Ahmad Said semasa menerima asakan Pak Lah-Idris-Rosol ketika krisis perlantikan MB.  Lantas menyepikan ADUN-ADUN derhaka (Idris-Rosol-Din Adam) dalam sidang DUN.  Dan selepas ini tidak mustahil penyokong Ahmad Said akan dianugerahkan pelbagai jawatan dan projek.  Jawatan di TDM, EPIC, Ladang Rakyat dan sebagainya termasuk T-Best (penganjur Moonsun Cup) menggamit mereka.

Sudahlah jatuh ditimpa tangga, kaki pulak patah – perumpamaan aku untuk trio  retro (Idris-Rosol-Din Adam) yang pasti terkenang akan persahabatan mereka dengan Ahmad Said ketika sama-sama menghentam ADUN PAS ketika tiap kali sidang DUN suatu ketika dahulu.

Tribute khas untuk anda semua…sahabat sejati Ahmad Said & Rosol.

Penerimaan Pak Lah terhadap penubuhan Suruhanjaya Kehakiman dan kebebasan kepada BPR dilihat sebagai menaikkan kembali sahamnya yang menjunam jatuh dan bukannya memenuhi tuntutan rakyat pada Pilihanraya Umum lepas. Dan tidak mustahil Pak Lah akan membebaskan tahanan ISA (Hindraf) tidak lama lagi bagi sahamnya di ‘papan utama’ kaum india.

Petanda kebangkitan Pak Lah disokong pula oleh tindakan bapa kepada Altantuya, Setev bahawa dia mahukan pembelaan yang seadilnya di mahkamah. Umum mengetahui kes Altantuya dikaitkan dengan Najib Razak dan menantu Pak Lah, Khairy pula menghentam pasukan Najib iaitu Hishamudin berkaitan ‘keris’ yang menyebab kekalahan besar BN (sumber Malaysiakini).

Aku masih menantikan tindakan Najib bagaimana beliau akan mengekalkan teori RAHMAN agar menjadi kenyataan. Tidak cukup sebagai Menteri Pertahanan yang antara lainnya adalah memindahkan pengundi pos (tentera) di Pekan agar beliau terus kekal di Parlimen. Istilah Glokal juga telah berkubur dan ditambah Rosmah sebagai liabiliti politik Najib.

Apalah nasib Najib selepas ini. Setiap hari aku rasakan semakin jauh jawatan PM itu dengan beliau. Dalam UMNO, hanya selepas meletak jawatan sahaja berani bersuara seperti Mahathir dan Allahyarham Ghafar Baba. Oleh sebab itu aku tabik pada Ahmad Said, MB Terengganu atas ketegarannya menentang segala bentuk ugutan dan arahan daripada pimpinan kampung hinggalah presiden UMNO sendiri. Akhirnya, beliau diterima pula dan tiada sebarang tindakan diambil. Sungguh hebat!

Mungkin mereka yang mahu bertapak lebih tinggi perlu berguru dengan Ahmad Said. Usah malu-malu…

    Sehingga hari ini tindakan tatatertib yang dimomokkan terhadap Datuk Ahmad Said belum kelihatan malah semakin hari semakin kuat kedudukan Ahmad Said di tingkat 18 Wisma Darul Iman.  Sejak hari sebelum penerimaan watikah perlantikan sebagai MB, Ahmad Said telah diugut untuk dilucutkan keahlian sebagai anggota UMNO jika menerimanya.  Dan Ahmad Said menerimanya.

    Selepas itu, tindakan tatatertib itu dilanjutkan lagi iaitu akan dilucutkan keahlian jika mengangkat sumpah sebagai MB.  Semalam Ahmad Said mengatakan bahawa beliau tidak perlu mengangkat sumpah dan hanya exco yang akan dilantik perlu berbuat sedemikian.  Begitulah senario UMNO yang suka menggertak ahlinya seperti yang berlaku kepada Ku Li dan Mukhriz.

    Disebalik tindakan tatatertib terhadap MB Terengganu itu, timbul satu kisah yang menarik di kalangan rakyat yang peka dengan situasi ini.  Terdengar bualan dari rakan-rakan dan orang ramai mengatakan bahawa isu perlantikan Ahmad Said atau Idris Jusoh ini adalah perebutan antara Najib dan Pak Lah.  Idris dilihat berada di pihak Pak Lah sementara Ahmad Said di sokong oleh Najib.

    Ini menandakan permulaan strategi Najib merampas populariti daripada PM selepas pengumuman kabinet tempoh hari memihak kepada Pak Lah.  Najib yang menjadi ketua disiplin UMNO atau orang yang lanyak menghukum ahlinya diceritakan enggan menandatangani surat perlucutan keahlian UMNO terhadap Ahmad Said dan hingga kini beliau masih ahli UMNO.  Begitulah bualan kebanyakkan rakyat Terengganu.

    Selain ada yang mengatakan Pak Lah amat mengharapkan Idris menjadi MB Terengganu adalah kerana mahu membolot kekayaan daripada projek.  Ini kerana tiada lagi tempat Pak Lah untuk mengorek harta rakyat selain Terengganu. Perlis sudah tiada proksinya iaitu Shahidan, Negeri Sembilan pula sudah dikotori oleh Khairy-rakyat sudah tahu, Johor sudah dipegang Singapura dan Pahang pastinya disekat Najib.  Apa yang ada pada Pak Lah selain Terengganu?

 

Isu perlantikan Menteri Besar Terengganu menemukan dua jaguh dari utara iaitu Ketua UMNO Bahagian Besut, Idris Jusoh dengan wakil dari selatan iaitu Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Said. Dan gelanggangnya ialah di Kuala Terengganu yang merupakan kawasan yang dikuasai PAS. PAS juga yang menjadi mangsanya!

Ianya juga memperlihatkan kehebatan seorang wakil dari Hulu Terengganu, Rosol Wahid yang menggunakan kedudukan beliau sebagai Setiausaha UMNO Terengganu untuk menjadi jurucakap kepada Idris Jusoh dan 21 ADUN BN yang lain. Di manakah suara ADUN-ADUN yang lain?

Semalam, Ahmad Said telah memaklumkan bahawa dalam masa terdekat ini akan ada ADUN yang menyokong beliau. Atau mungkin Rosol sahaja yang menyokong Idris kerana tidak pernah ADUN-ADUN lain ditemubual. Memang benar kata YB Husam Musa bahawa mungkin ada rahsia yang disembunyikan sehinggakan mereka mempertahankan Idris Jusoh itu sedemikian rupa. Tidak pula PM mempertahankan Shahidan sebagaimana beliau mempertahankan Idris kini. Telahan sesetengah pihak ialah PM ada kepentingan di Terengganu dan tiada di Perlis. Tiada yang boleh memberi kepentingan kepada PM di negeri Darul Iman ini selain Idris Jusoh.

Kebanyakkan ADUN yang menang pada pilihanraya lalu adalah muka-muka baru setelah Idris mencantas ramai muka lama termasuk beberapa orang ketua bahagian. Dan situasi inilah antara penyebab mengapa beliau bertindak sedemikian.

Namun, situasi ini juga membuka ruang politik yang lebih luas kepada mereka semua jika bijak mengambil keputusan. Untuk apa terus berada di belakang Idris yang telah rakus membinasakan Terengganu, berubahlah pula kepada kepimpinan baru yang akan memulihkan kepercayaan rakyat. Nescaya orang pertama yang memecahkan ruyung dengan menyatakan sokongan kepada Ahmad Said pasti akan dilantik sebagai exco. Inilah peluang kepada ADUN BN terutama mereka yang menang tipis baru-baru ini.

Rosol Wahid yang tidak bijak berpolitik itu pasti akan terus terperosok bersama Idris Jusoh. Sedangkan ketua bahagian Hulu Terengganu sendiri tidak menyokong kepimpinan Idris Jusoh. Jika benar yang dikatakan mereka untuk meletak jawatan dan diadakan pilihanraya semula dan ditakdirkan mereka menang juga, ia sama juga seperti sekarang kerana pokok pangkalnya istana yang menolak Idris Jusoh sebagai MB. Memang tidak cerdik tindakan Rosol itu.

    Berita Datuk Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru telah menggemparkan rakyat.  Aku telah menerima beberapa panggilan telefon daripada sahabat-sahabat yang menanyakan persoalan tersebut.  Malahan, di warung dan kedai kopi tidak lekang dari bibir pengunjungnya untuk berbicara soal ini.

    Yang aku ingin highlightkan di sini ialah budaya ‘yes bos’ dalam UMNO seperti yang ditegur oleh Tun Mahathir akhirnya dipecahkan sempadannya oleh Datuk Ahmad Said.  Tun telah membidas ahli UMNO yang asyik mengikut telunjuk ketua (PM) tanpa sebarang bangkangan walaupun dalam hati jauh untuk bersetuju.  Hari ini, disebalik ugutan agar tidak menerima watikah pelantikan sebagai MB atau beliau akan dilicutkan keahlian, Datuk Ahmad Said tegar dengan pendirian untuk melawan arus pucuk pimpinan kerana beliau sedar bahawa Idris Jusoh telah banyak melakukan kerosakan bukan sahaja kepada negeri bahkan juga terhadap UMNO Terengganu itu sendiri.  Datuk Ahmad Said telah belajar daripada Tun Mahathir-biar berani menegur kerana untuk kebaikan.

    Setelah Datuk Ahmad Said memulakannya di Terengganu, tidak mustahil beberapa orang lagi akan melawan arus dengan politik tradisi yang diamalkan sejak sekian lama.  Ku Li dan Azalina Othman telah bersuara untuk mengambil alih pimpinan masing-masing.

    Ku Li yang telah banyak kali menegur soal kepimpinan Pak Lah sekali lagi menyuarakan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.  Ketepikan soal menang-kalah, yang penting berani kerana kebaikan.

    Kepada semua pemimpin baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, bersuaralah jika anda tahu ada yang lebih baik daripada yang sedia ada.  Janganlah menjadi syaitan bisu yang akhirnya membawa kepada kehancuran negara.

    Tahniah kepada Datuk Ahmad Said!