Ramai berkata Anwar bohong sebab tak jadi tukar kerajaan pada 16 September 2008.  Terpulang kepada semua untuk menilainya.  Namun pada sidang media semalam, jelas Anwar berkata Pakatan Rakyat mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan.  Rundingan untuk bertemu Pak Lah secara rasmi dan teratur untuk proses pengambilalihan kerajaan sedang diaturkan.

Sebaliknya Pak Lah menjawab ia hanya sandiwara dan pertemuan dengan Pakatan Rakyat untuk proses pertukaran kerajaan tidak perlu.  Tambahnya jika dipersetujui pertemuan itu, Anwar akan mereka cipta cerita yang Pak Lah sudah bersetuju untuk peralihan kerajaan.  Itu jawapan Pak Lah.  Juga Pak Lah mencabar untuk Anwar mengemukakan senarai ahli parlimen BN yang akan sertai Pakatan Rakyat.

Mengapa Anwar perlu jumpa Pak Lah?  Dan mengapa Pak Lah tidak mahu jumpa Pakatan Rakyat?

Anwar perlu jumpa Pak Lah kerana kuasa tertinggi kerajaan sekarang adalah pada Pak Lah.  Proses peralihan bermakna termasuk menggantikan kepimpinan tertinggi negara.  Oleh sebab itu perlu diadakan pertemuan tersebut untuk membincangkan proses peralihan yang teratur.  Ia amat perlu kerana proses ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.  Kedua-dua pihak (BN dan PR) perlu duduk semeja membincangkan proses peralihan yang tidak menggugat perjalanan hidup rakyat Malaysia.  Tidak perlu mempersoalkan isu ia adalah sandiwara.

Tindakan Pak Lah mengelak pertemuan dengan PR menimbulkan tanggapan bahawa ketakutan berada di pihaknya.  Malah cabaran supaya menyatakan nama-nama ahli parlimen BN yang akan beralih juga adalah tindakan yang dianggap pengecut.  Pengecut kerana sejarah Pak Lah memang begitu.  ISA, ugutan dan hukuman banyak kali diamalkan oleh kerajaan BN sejak sekian lama.  Media tidak seharusnya menjadi platform untuk proses peralihan.  Pertemuan dan perbincangan yang rasmi adalah prosesnya.

Melihat tindakan Tun Mahathir yang akan kembali semula ke pangkuan UMNO, juga petanda bahawa akan tumbangnya BN.  Tun pernah berkata ketika beliau keluar dari UMNO dahulu bahawa beliau akan kembali semula menyertai UMNO setelah Pak Lah letak jawatan.  Pada mulanya Tun dikatakan akan menyertai UMNO pada 17 September.  Aku membayangkan pada 16 September itu BN tumbang iaitu hari Pak Lah letak jawatan.  Sekarang Mukhriz berkata Tun akan sertai UMNO sebelum 1 Oktober, yang memperlihatkan Pak Lah akan berundur sebelum itu lagi.

Cukup dengan kenyataan DS Anwar bahawa Pakatan Rakyat sudah memiliki bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.  Bermakna akan ada ahli parlimen melompat ke PR secara beramai-ramai.  Antara benar atau tidak kenyataan itu, ia sudah menggugat keseluruhan kerajaan yang mentadbir Malaysia sekarang.

Apa tidaknya, lihat saja UMNO yang kian bergolak, cadangan Gerakan, SAPP serta orang kanan MCA untuk keluar Barisan Nasional.  Malahan tindakan 50 orang ahli BNBBC melawat Taiwan dan sekarang dikatakan pula berpindah ke Hong Kong adalah menifestasi serangan psikologi DS Anwar.  Logiknya tidak timbul soal lawatan sambil belajar secara besar-besaran seperti itu di tambah pula pada bulan Ramadan ini yang mana antara kegiatan utama ahli parlimen di bulan ini adalah melawat kawasan serta berbuaka puasa bersama rakyat.

Muhyiddin, Rais Yatim, Najib Razak dan Zaid Ibrahim sudah memberi signal bahawa Pak Lah sudah tidak mampu untuk menyelamatkan keadaan.  ISA kepada tiga orang juga tidak kena pada isunya.  Sedangkan Datuk Ahmad bersama penyokongnya yang bertindak mengoyak gambar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat lebih besar kesan perkaumannya.

Mana-mana aku pergi pun orang ramai sudah biasa berbicara agenda 16 September.  Tidak terkecuali anak-anak muda.  Inilah yang menjadi kegusaran Pak Lah.  Kerana kini dia baru faham yang kuasa ada pada rakyat.