Oh! Malaysiaku


Salam kembali!

Sudah berbulan aku meninggalkan blog ini dek berada di perantauan yang menyukarkan aku mendapat maklumat sebenar dan akses internet yang lembab.  Rupanya blog ini masih menjadi medan sesetengah masyarakat menimba sedikit perkongsian idea pemikiran aku.

UMNO masih dengan sikap lamanya dan Pakatan Rakyat aku lihat ada sedikit perkembangan positif walaupun pergerakannya perlahan.  Sudah dua malam aku menatap berita di Buletin Utama dan Warta Perdana…masih belum insaf.  Namun apakan daya, media ini perlu meneruskan tugasan tradisi ini untuk mengekalkan penguasaan terhadap masyarakat pedalaman dan jumud.  Kuala Terengganu, Kuantan, Kuala Lumpur serta Johor Bharu merupakan bandar-bandar yang aku sering lawati memberikan imej yang amat buruk terhadap penerimaan mereka kepada media arus perdana ini.  Segala bentuk berita negatif daripada negeri pimpinan PR pasti ditolak mentah-mentah kerana minda masyarakat di sini sudah tahu mengenai propaganda kerajaan.  Malah berita menjadi bahan ketawa mereka.  Riak wajah pemberita yang serius membaca berita sudah cukup membuat mereka ketawa. 

Tapi di tempat yang jauh dari arus pembangunan seperti Hulu Terengganu, Pekan, Rompin dan Temerloh-berita seperti ini masih dijadikan panduan penilaian mereka.  Oleh sebab itulah aku katakan strategi ini akan terus digunakan oleh BN.  Mereka ada matlamat melalui cara ini walaupun kita nampak seperti kebudak-budakan.  Jujurnya, ramai yang akan mual dengan pemberita kerana menjadi bahan boneka BN.  Kerjaya kewartawanan makin hilang integriti dan mungkin lama-kelamaan menjadi low class profesion.  Mujur ada segelintir daripada mereka memahami peranan sebenar tapi ruang mereka amat sempit dan dugaan banyak dialami.

“Setiap usaha menyampaikan kebenaran pasti ada halangan dan dugaan.  Itu lumrah dan sunnah.  Tidak kira di bidang apa pun.  Para politikus yang benar ada cabarannya, peniaga yang jujur pasti ada halangannya, penjawat awam yang amanah akan ada yang hasad dan dugaannya serta para muslim yang sejati sudah menanti syaitan yang akan menghasutnya.”

“Jika segalanya mudah bagi kita, tiada halangan dan cabaran harus kita menilai kembali setiap langkah dan pergerakan kita…kerana dibimbangi kehidupan kita ada yang tidak betul.  Kerana Al-Quran yang menjadi panduan kita ada menyebut bahawa jangan kita berasa sudah beriman sedangkan kita belum diuji”

Para ahli akademik sekarang juga hilang kredibilitinya.  Bukan semua.  Semalam aku menerima panggilan telefon daripada sahabat di UTM Skudai,  sahabatku ini didakwa di mahkamah universiti kerana penglibatan dengan politik luar.  Satu lagi double standard di negara membangun Malaysia ini.  Dan mengikut kata-kata sahabatku ini, hakim semasa perbicaraan itu adalah juga pihak pendakwa.  Aduyai!!!…apa punya Dato’ Ir Professssor la ni…Namun alhamdulillah kerana sahabatku ini hanya dikenakan amaran sahaja.

Orang yang sepatutnya menjadi kumpulan pendesak dan pemangkin kepada pertumbuhan kemajuan negara adalah para ilmuan.  Negara kita punyai ramai profesor, penyelidik, pemikir dan ilmuan yang bertaraf antarabangsa.  Termasuk para pensyarah di ratusan kolej serta universiti di dalam dan luar negara.  Mereka inilah yang harus berperanan dalam mencorak kemajuan negara.  Tapi hakikat ini dinafikan oleh batasan politik sempit.  Berapa ramai daripada mereka yang berani menafikan kelemahan sesuatu dasar serta pendekatan yang digunakan pemerintah sekarang?  Bukan kerana tidak mahir, tapi sekatan yang amat zalim ke atas mereka.  Pemerintah zalim kepada para ilmuan kerana menyekat kebebasan idea, pemikiran, pandangan serta kemahiran mereka.

Kewarasan pemikiran sekarang tidak sehaluan dengan pendekatan seseorang.  Lain di hati lain pula ungkapan dan tindakan diambil.

Beberapa hari aku di Permatang Pauh melihat suasana semasa politik Malaysia yang boleh dikatakan kian panas.  Sampai di rumah pula line internet ada masalah hinggalah hari ini baru selesai.

Tahniah Anwar Ibrahim untuk kemenangan yang sudah diduga (pengamatan beberapa hari sebelum hari mengundi yang aku lihat di Permatang Pauh).  Tahniah juga kepada kedua-dua pihak kerana tiada insiden yang buruk berlaku.

Setelah kemenangan Anwar, timbul desas desus apakah benar perubahan kerajaan akan berlaku?  Yes…ia pasti berlaku cuma masanya tidak dapat diduga.  Mungkin 100 tahun lagi.  16 September mungkin canangan yang ideal buat menguatkan keyakinan penyokong dan menggugat lawan.  Tapi kenapa di pihak kerajaan begitu takut untuk mengalami perubahan terhadap kepimpinan negara, hingga ‘aku janji’ perlu dibuat.  Tiada kerajaan yang akan kekal dan kita perlu mengakui hakikat itu dengan sesungguhnya.

Seiring dengan politik antarabangsa seperti Amerika sekarang yang dalam proses perubahan kepimpinan, strategi mengekalkan kemenangan itu pasti dan menerima perubahan juga tiada masalah.  Mengapa masih ada yang begitu sukar untuk menerima perubahan kepimpinan negara terutama melibatkan parti pemerintah.  Sedangkan pemimpin parti sendiri akan bertukar.  Renung sahaja apabila Tun Mahathir mengumumkan akan meletak jawatan semasa perhimpunan agong UMNO beberapa tahun lalu hingga ramai menitiskan air mata dan solat hajat agar beliau menarik balik hasratnya.  Kini ramai pula yang membangkang beliau.  Jelas bahawa kita perlu realistik kepada keadaan semasa, bukannya taksub kepada sistem temurun.

Lihat pula kepada empat buah negeri yang mangalami perubahan kerajaan selepas Pilihanraya Umum lalu.  Kesemua rakyat di empat buah negeri itu sekarang mempunyai perbandingan dan merekalah yang berhak menilai baik buruk antara dua pemerintahan.  Tetapi di peringkat nasional, semua tidak berhak membuat perbandingan kerana kita semua masih belum merasai satu lagi pihak yang ingin memerintah.

Barisan Nasional tidak berhak mengatakan mereka adalah terbaik sedangkan tiada perbandingan yang dapat kita nilai.  Mereka seharusnya menumpukan untuk meningkatkan prestasi dan perlu menerima hakikat jika ada perubahan.  Pakatan Rakyat berhak menabur janji kerana itu adalah cita-cita mereka.  Ibarat kita berjanji untuk menunaikan umrah jika keuntungan perniagaan kita mencapai tahap tertentu.  Janji itu adalah impian kita pada masa depan, berlaku atau tidak adalah mengikut keadaan semasa dan keizinan tuhan.  Bahkan salah jika kita mempertikaikan janji seseorang kerana kita tiada hak.  Realistik atau tidak janji seseorang bukan persoalan kerana setakat manusia waras yang aku jumpa semua janji masih berpijak di bumi.

Muflis dan huru-hara adalah doa pimimpin BN kepada perubahan sedangkan kestabilan dan kesejahteraan adalah impian ramai terhadap perubahan.  Bukti kuasa milik rakyat tidak lagi terpapar kerana istilah takut tadi berjaya menghantui diri.  Dalam teori pemasaran, perasaan takut adalah halangan utama kepada kejayaan.  Takut kepada sesuatu yang belum jelas kejadiannya dan hanyalah kemungkinan.  Takut juga adalah perkara utama kepada kesempitan.  Yang kadang-kadang menyempitkan ilmu dan fikiran kita.

Aku bukanlah penyokong tegar Anwar Ibrahim, namun bagiku beliau adalah pemimpin yang telah melalui pengalaman kedua-dua pihak yang ingin memerintah.  Beliau boleh membuat perbandingan.  Dan kita juga boleh mealauinya jika kita bersedia.

Salam merdeka!

Aku bukan pakar ekonomi tetapi sekadar pandangan dari perspektif orang biasa yang hari-hari baca akhbar. Apabila menyentuh soal berkaitan FTA (Free Trade Aggrement) antara Malaysia-Amerika (US), hingga sekarang ia masih berlarutan dalam peringkat rundingan. Dan membawa kepada pertukaran menteri dalam kabinet negara kita.

Aku ada terbaca dalam majalah Dewan Ekonomi dua tahun lepas berkaitan FTA antara US dengan negara-negara lain. Kebanyakkannya membawa impak negatif kepada negara yang menandatangani perjanjian tersebut dengan US. Sebagai contoh di Mexico yang berlaku lambakan jagung tempatan kerana jagung dari US lebih murah.

Kenapa perlu FTA dengan US?

Jika difikir logiknya, mungkin kita beroleh barangan import dari US dengan lebih murah dan ia pasti menggembirakan kerana negara kita amat bergantung dengan barangan US. Namun ia pasti membawa persoalan imbuhan yang diperolehi oleh US. Dan semestinya mereka mahukan keuntungan dari pihak mereka. Salah satunya ialah meluaskan pasaran serta menambah produk-produk mereka ke Malaysia yang mungkin sebelum ini tidak dapat ditembusi.

Melihatkan keadaan semasa, barangan keperluan terutama makanan di Malaysia sekarang semakin tinggi harganya seperti beras. Ini menambah kebimbangan jika FTA meluluskan kemasukan bahan tersebut dari US ke Malaysia. Sudah pasti ia membantutkan industri padi/beras negara walaupun ia menjadikan pengguna mempunyai pilihan beras murah dari US.

Aku melihat FTA Malaysia-US ini merupakan win-win situation. Kelebihan dipihak Malaysia ialah memperoleh barangan US dengan harga yang lebih murah sementara dipihak US adalah menambah produk mereka dalam pasaran Malaysia. Namun keburukannya ialah ia akan membantutkan usaha penghasilan produk tempatan kerana diakui kualiti dan penjenamaan produk kita jauh ketinggalan dibandingkan dengan US. Cuba bayangkan, anda mempunyai pilihan untuk memilih sama ada kasut Adidas (US) atau kasut Gombak (Malaysia)? Kita cenderung memilih Adidas kalau bukan pun kerana kualiti tetapi kerana jenama. Ia lebih menakutkan jika kasut Adidas turun harganya kerana FTA.

Jika FTA membuka peluang produk tempatan memasuki pasaran US, bolehkah ia bersaing di sana? Jika produk tempatan pun sukar menambat pengguna tempatan, masakan boleh ia maju di US. Kita tidak seperti rakyat Korea yang amat bangga dengan produk mereka.

Hiburan dan keseronokan adalah senjata utama yang akan digunakan oleh pihak kerajaan untuk menyelamatkan mereka. Bukannya pemotongan elaun, ubah gaya hidup, rebat tunai dan sebagainya.  Kajian sosio-budaya rakyat negara India mendapati, rakyat miskin India akan melupakan keperitan hidup mereka buat seketika apabila pergi menonton wayang.  Maka tidak pelik jika industri filem di India berkembang pesat dan rata-rata filemnya adalah memakan masa 3 jam tayangan.  Dan filemnya ‘happy ending’ untuk menggembirakan warga yang sedang dalam kesempitan hidup.

Tidak jauh perbezaannya dengan Malaysia.  Filem, konsert dan sukan menjadi pengubat kesengsaraan mereka.  Lihat sahaja kehadiran di konsert dan panggung wayang, hampir penuh sentiasa.  Sama ada berbayar atau percuma.  Pernah aku terserempak dengan satu keluarga di sebuah konser di Danga Bay, JB.  Mereka datang dari Pontian (1 jam perjalanan) semata-mata untuk menyaksikan konsert percuma.

Di tempat-tempat sebegini mereka diulit dengan keseronokan hingga melupai kehidupan yang nyata seketika.  Dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh kerajaan dengan menyokong dan membiayai program sebegini yang akhirnya membawa rakyat ke alam fantasi.  Fantasi kerana ada yang sanggup berhabis beratus ringgit untuk sms undi, menangis, menjerit dan khayal dengan paparan cerita yang mitos.

Ia sekali gus mengiakan segala apa kerakusan yang dipelopori pemerintah.  Mengerah keringat rakyat dalam masa yang sama menracuni rakyat dengan ‘pil khayal’ supaya mereka terus leka.  Rakyat tidak peduli lagi soal harga minyak atau pemimpin korup.

Termasuk diriku yang akan khayal dengan EURO 2008

Penangan oleh rakyat Malaysia dalam Pilihanraya Umum (PRU) lalu masih belum dapat menghentuk media massa arus perdana.  Memuji setinggi-tingginya langkah kerajaan (walaupun budak sekolah pun tahu ia adalah buruk) dan mempersenda serta mengeksploitasi berita pembangkang hingga menjadi negatif adalah masih tanggungjawab mereka.  TIDAKKAH MEDIA PERDANA LUPA BAHAWA KEKALAHAN BESAR BN DALAM PRU LALU ADALAH DISEBABKAN JUGA OLEH TINDAKAN MEREKA INI?  Malah timbulnya gerakan memboikot media dan  munculnya bloggers kerana rakyat sudah mual dengan peranan sebenar media massa.

Lihat saja isu kenaikkan harga minyak hari ini, kerajaan dipuji lagi.  Orang yang waras tidak akan berbuat demikian.  Dan kita sebagai rakyat yang bijak juga tahu bukan mereka sebenarnya yang mahukan terbit berita sedemikian, bahkan jauh di sudut hati mereka menentang kenaikkan harga minyak ini.  Namun disebabkan tugas dan ketua editornya, berita yang terbit adalah palsu semata-mata.  Akhirnya kerjaya sebagai wartawan tidak lagi ikhlas.

Teringat ketika era reformasi 1998 dahulu, seorang kartunis telah melakarkan kartun yang menggambarkan gelagat antara suami dengan isteri.  Si isteri bertanyakan kepada suaminya kenapa hari ini bawa payung ke tempat kerja?  Dijawab si suami bahawa malam tadi berita TV3 bagi tahu ramalan hari ini akan panas terik.  Begitu sinis kartun itu yang menggambarkan ketika itu dan hingga kini rakyat tidak mempercayai berita arus perdana.

Malahan masyarakat juga sudah lali untuk mengungkapkan kata-kata seperti

‘berita ni bukan boleh percaya sangat’

‘hari-hari hentam pembangkang’

dan sendiri sedia maklum dialog-dialog lain yang mungkin lebih seronok jika dikongsi.

Oleh sebab itulah masyarakat mula beralih kepada berita alternatif seperti akhar kepartian, website dan blog.  Maka tidak hairan pada PRU lalu masyarakat bandar beralih memilih Pakatan Rakyat kerana bijak membandingkan berita dan mudah akses maklumatnya.

Kekalahan menteri penerangan juga adalah isyarat jelas rakyat untuk menyedarkan kerajaan bahawa media yang bebas dan telus diperlukan.

Sungguh malu jika membandingkan media kita dengan media luar yang sama taraf membangunnya.  Jauh ketelusannya.

Artikel yang menarik untuk dikongsi

Oleh sobrima

“PakLah dalam sesi Dewan Rakyat telah memaklumkan tentang kos pembangunan Putrajaya setakat ini sdalah hampir RM12 billion. Tahukah anda berapa banyakkah duit RM12,000,000,000 tu.

Untuk makluman anda keluasan Putrajaya ialah 4932 hektar bersamaan dengan 49,360 meter persegi. Sekiranya jumlah wang tersebut dipecahkan kepada duit kertas RM50, maka kita perlukan sebanyak 24,000,000 keping.

Bilangan kepingan duit kertas RM50 sebanyak itu boleh digunakan untuk menutup seluruh keluasan Putrajaya sebayak 5 lapisan. Cubalah anda bayangkan. Waw banyaknya duit dileburkan disitu berbanding dengan peruntukan untuk orang-orang kampung dan luar bandar. Setujukah anda dengan duit yang telah dileburkan di Putrajaya…”

sumber- http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=10124&mode=thread&order=0&thold=0

Sukan yang paling aku gemar-Bola Sepak, dan sekali lagi aku cukup geram apabila timbul semula soal rasuah…(tambah kecewa bila liverpool kalah lawan chelsea).

Ramai yang menyalahkan pemain malah tidak kurang juga menuding jari kepada sindiket judi. Pemain disalahkan kerana dilihat mengejar duit. Aku setuju tapi memang patut pun mereka mengejar duit kerana ia keperluan yang penting pada masa ini. Bayangkan apabila pemain mencecah usia awal 30 an, pasti kudrat mereka dipandang sipi dan sudah boleh bersiap untuk digugurkan. Pastinya mereka telah berkira berkaitan soal saraan selepas bersara nanti.

Sindiket judi pula tidak perlu dilibatkan kerana di Eropah judi bola sepak amat berleluasa dan amat jarang ia dikaitkan dengan soal rasuah. Memang jelas, judi itu haram tapi ia tiada kaitan dengan rasuah dalam bola sepak eropah.

Cuba lihat kepimpinan FAM, rata-rata memiliki kekayaan yang hebat dan jika dibandingkan dengan pemain yang bertungkus lumus di padang, memang jauh taraf hidup mereka. Berlainan di Eropah sana.

Pernah seorang rakan memberi tahu bahawa pemain Eropah bermain bola bukan kerana duit kerana hal berkaitan perbelanjaan tidak menjadi kesulitan tetapi mereka bermain kerana mahukan kebanggaan. Bangga jika dipilih mewakili negara dan bangga jika dapat bermain dengan kelab hebat. Mereka mengejar rekod.

Namun di negara kita. Pemain berada di padang tapi fikiran ke arah sewa rumah, bayar kereta, pelbagai bil dan juga perbelanjaan yang makin naik. Takut jika dipilih mewakili negara kerana bimbang dicemuh peminat. Ada betul jugak kata-kata rakanku ini.

Fikir-fikirkanlah…

Sudah seminggu aku demam (ujian daripada Allah) namun hari ini aku gagahkan untuk menulis beberapa artikel setelah pelbagai isu melanda negara. Hari terakhir sebelum aku demam, aku ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Liga Super antara Terengganu dengan Perlis. Aku jangkakan tidak akan menjejakkan lagi kaki ke stadium setelah perlawanan antara Terengganu dengan Pahang seminggu sebelumnya yang berkesudahan Pahang menang 2-1, tapi disebabkan tiket percuma, aku terima pelawaan rakanku.

Namun tiada bezanya, 90 minit permainan hanya dipenuhi cemuhan penonton samaada melihat permainan Terengganu mahupun Perlis. Sudah bertahun aku melihat permainan pemain Malaysia samaada kejohanan tempatan mahupun antarabangsa. Basic football amat lemah seperti passing, stop ball dan crossing. Walaupun aku tidaklah sehebat mereka, tapi mereka semua dibayar gaji untuk bermain bola sepak termasuk jurulatihnya. Berbaloikah gaji dibayar tetapi tiada peningkatan bahkan Malaysia sekarang berada di ranking ke 170 dunia.

Setiap tahun pasti ada pasukan yang berbangga kerana dapat merangkul kejuaraan Liga Super ataupun Piala Malaysia, tapi bila bermain di luar negara, macam budak sekolah. Pernah aku dengar satu ceramah yang mengatakan pasukan negara sekarang ni kalau lawan pasukan tingkatan 6 Korea pun belum tentu boleh menang!

Teringat aku jurulatih yang pernah latih Malaysia seperti Hatem Sousi dan Claude Le Roy, dua-dua dipecat sebab prestasi tak memuaskan. Tapi bila diambil pasukan lain, dua-duanya dapat melatih pasukan masing-masing hingga ke Piala Dunia. Hatem (Tunisia) ; Le Roy (Ghana).

Dimana silapnya? Semua orang tuding jari pada FAM dan pernah isu ni panas seketika terutama bila pasukan negara kecundang dalam kejohanan besar. Lepas tu surut balik. Ada kawanku bagi tahu yang dia curiga dengan pasukan negara dalam Pertabola Merdeka tahun lalu, hebat sangat! Tapi bila main di Sukan Sea, hampeh!…dia kata ntah-ntah kena beli kot pasukan dalam Perstabola Merdeka almaklumlah sebab nak raikan 50 tahun merdeka…aku no komen.

Dalam pemerhatianku, pemain yang ada sekarang amat fanatik untuk kejohanan tempatan seperti Liga Super dan Piala Malaysia. Yang paling aku benci bila ada pemain yang berlakon sakit sebab nak habiskan masa…ceh! macamla nak menang World Cup. Mereka ni tak teruja ke nak tunjukkan permainan terbaik setiap perlawanan? Tak teringin ke nak main di Eropah? Kalau setakat jadi pemain tapi nak menang Piala Malaysia je…baik tak payah jadi pemain bola. Tanamlah cita-cita nak main kat luar negara, dapat main kat Singapore pun ok lah awal-awal ni. Kalau tak…dalam mimpi je la Malaysia masuk World Cup!