Setelah sedikit pemerhatian dibuat, andaian yang paling tepat kepada situasi pertukaran portfolio Pak Lah-Najib adalah untuk menjatuhkan Najib.  Seperti tulisanku sebelum ini, proses peralihan kuasa adalah seerti dengan proses menyingkirkan Najib.  Maka rekod ‘Timbalan Takkan Jadi PM’ akan terus berkekalan.

Memindahkan urusan ekonomi Negara kepada Najib memperlihatkan penambahan beban kepada Najib agar menumpukan soal ekonomi yang kian lumpuh sedangkan di pihak Pak Lah masa ini digunakan sebaiknya untuk perancangan menjatuhkan Najib.  Najib bukanlah pakar ekonomi dan ia akan memaksa Najib melakukan banyak kerja untuk memulihkan kembali ekonomi tanpa sempat memikirkan soal politiknya.  Dalam keributan Najib melaksanakan agenda pemulihan ekonomi, mungkin satu ‘isu’ bakal digemparkan untuk menghumban Najib.  Alasan Pak Lah bahawa memberikan portfolio Kementerian Kewangan kepada Najib sebagai pelan peralihan awal kepada jawatan PM adalah dangkal.  Pak Lah memberikan gambaran bahawa Kementerian Kewangan adalah lazimnya dipegang oleh PM.  Sejarah telah menyatakan bahawa perlantikan jawatan Menteri Kewangan kepada bakal PM adalah titik tolak kepada kejatuhan ahli politik tersebut.  Lihat apa terjadi kepada Ku Li dan Anwar.  Maka awaslah Najib!

Dengan skandal pembunuhan Altantuya, kes liwat Saiful serta komisyen Sukhoi bakal membawa Najib ke lembah kejatuhan.  Semalam dengan serta merta Pak Lah mengambil alih Kementerian Pertahanan berkuatkuasa hari Rabu (semalam) yang membawa implikasi parah kepada Najib.  Segala rekod serta fail yang belum sempat dikemaskini serta mungkin ada urusan yang masih dalam progress memberi impak positif kepada Pak Lah membongkar perihal Najib.  Boleh dikatakan peralihan portfolio lebih mengejutkan berbanding pertukaran kerajaan BN kepada PR.  Jika Anwar memberi tempoh kepada Pak Lah beberapa hari untuk memberi respon terhadap pertemuan dengan PR tetapi Pak Lah tanpa notis kepada Najib telah mengambilalih kementeriannya.  Menampakkan Pak Lah adalah pemimpin zalim walaupun nampak lembut.  Ia mengingatkanku kata-kata seorang sahabat bahawa jangan lihat Pak Lah pada luarannya, otaknya lebih hebat daripada Mahathir…otak jahat!

Penahanan Raja Petra (ISA) mungkin telah memberi pelbagai input berguna kepada Pak Lah kerana Raja Petra banyak mendedahkan isu berkaitan Najib.  Tempoh sekarang hingga Jun 2010 sudah cukup untuk Pak Lah merencanakan plan terbaik.  Dan disebabkan itulah Muhyiddin meminta Pak Lah mempercepatkan pelan peralihan.  Kejatuhan Najib bermakna kejatuhan juga untuk Muhyiddin.  Regu Najib-Muhyiddin sebagai pemimpin utama bakal menjadi khayalan semata-mata.

Dan sms berkaitan Muhyiddin masuk PKR yang tersebar bukan andaian kosong.  Jika Najib tersingkir, tidak mustahil Muhyiddin bakal beralih ke PKR atau PR.