Beberapa hari aku di Permatang Pauh melihat suasana semasa politik Malaysia yang boleh dikatakan kian panas.  Sampai di rumah pula line internet ada masalah hinggalah hari ini baru selesai.

Tahniah Anwar Ibrahim untuk kemenangan yang sudah diduga (pengamatan beberapa hari sebelum hari mengundi yang aku lihat di Permatang Pauh).  Tahniah juga kepada kedua-dua pihak kerana tiada insiden yang buruk berlaku.

Setelah kemenangan Anwar, timbul desas desus apakah benar perubahan kerajaan akan berlaku?  Yes…ia pasti berlaku cuma masanya tidak dapat diduga.  Mungkin 100 tahun lagi.  16 September mungkin canangan yang ideal buat menguatkan keyakinan penyokong dan menggugat lawan.  Tapi kenapa di pihak kerajaan begitu takut untuk mengalami perubahan terhadap kepimpinan negara, hingga ‘aku janji’ perlu dibuat.  Tiada kerajaan yang akan kekal dan kita perlu mengakui hakikat itu dengan sesungguhnya.

Seiring dengan politik antarabangsa seperti Amerika sekarang yang dalam proses perubahan kepimpinan, strategi mengekalkan kemenangan itu pasti dan menerima perubahan juga tiada masalah.  Mengapa masih ada yang begitu sukar untuk menerima perubahan kepimpinan negara terutama melibatkan parti pemerintah.  Sedangkan pemimpin parti sendiri akan bertukar.  Renung sahaja apabila Tun Mahathir mengumumkan akan meletak jawatan semasa perhimpunan agong UMNO beberapa tahun lalu hingga ramai menitiskan air mata dan solat hajat agar beliau menarik balik hasratnya.  Kini ramai pula yang membangkang beliau.  Jelas bahawa kita perlu realistik kepada keadaan semasa, bukannya taksub kepada sistem temurun.

Lihat pula kepada empat buah negeri yang mangalami perubahan kerajaan selepas Pilihanraya Umum lalu.  Kesemua rakyat di empat buah negeri itu sekarang mempunyai perbandingan dan merekalah yang berhak menilai baik buruk antara dua pemerintahan.  Tetapi di peringkat nasional, semua tidak berhak membuat perbandingan kerana kita semua masih belum merasai satu lagi pihak yang ingin memerintah.

Barisan Nasional tidak berhak mengatakan mereka adalah terbaik sedangkan tiada perbandingan yang dapat kita nilai.  Mereka seharusnya menumpukan untuk meningkatkan prestasi dan perlu menerima hakikat jika ada perubahan.  Pakatan Rakyat berhak menabur janji kerana itu adalah cita-cita mereka.  Ibarat kita berjanji untuk menunaikan umrah jika keuntungan perniagaan kita mencapai tahap tertentu.  Janji itu adalah impian kita pada masa depan, berlaku atau tidak adalah mengikut keadaan semasa dan keizinan tuhan.  Bahkan salah jika kita mempertikaikan janji seseorang kerana kita tiada hak.  Realistik atau tidak janji seseorang bukan persoalan kerana setakat manusia waras yang aku jumpa semua janji masih berpijak di bumi.

Muflis dan huru-hara adalah doa pimimpin BN kepada perubahan sedangkan kestabilan dan kesejahteraan adalah impian ramai terhadap perubahan.  Bukti kuasa milik rakyat tidak lagi terpapar kerana istilah takut tadi berjaya menghantui diri.  Dalam teori pemasaran, perasaan takut adalah halangan utama kepada kejayaan.  Takut kepada sesuatu yang belum jelas kejadiannya dan hanyalah kemungkinan.  Takut juga adalah perkara utama kepada kesempitan.  Yang kadang-kadang menyempitkan ilmu dan fikiran kita.

Aku bukanlah penyokong tegar Anwar Ibrahim, namun bagiku beliau adalah pemimpin yang telah melalui pengalaman kedua-dua pihak yang ingin memerintah.  Beliau boleh membuat perbandingan.  Dan kita juga boleh mealauinya jika kita bersedia.

Salam merdeka!