Salam kembali!
Sudah berbulan aku meninggalkan blog ini dek berada di perantauan yang menyukarkan aku mendapat maklumat sebenar dan akses internet yang lembab. Rupanya blog ini masih menjadi medan sesetengah masyarakat menimba sedikit perkongsian idea pemikiran aku.
UMNO masih dengan sikap lamanya dan Pakatan Rakyat aku lihat ada sedikit perkembangan positif walaupun pergerakannya perlahan. Sudah dua malam aku menatap berita di Buletin Utama dan Warta Perdana…masih belum insaf. Namun apakan daya, media ini perlu meneruskan tugasan tradisi ini untuk mengekalkan penguasaan terhadap masyarakat pedalaman dan jumud. Kuala Terengganu, Kuantan, Kuala Lumpur serta Johor Bharu merupakan bandar-bandar yang aku sering lawati memberikan imej yang amat buruk terhadap penerimaan mereka kepada media arus perdana ini. Segala bentuk berita negatif daripada negeri pimpinan PR pasti ditolak mentah-mentah kerana minda masyarakat di sini sudah tahu mengenai propaganda kerajaan. Malah berita menjadi bahan ketawa mereka. Riak wajah pemberita yang serius membaca berita sudah cukup membuat mereka ketawa.
Tapi di tempat yang jauh dari arus pembangunan seperti Hulu Terengganu, Pekan, Rompin dan Temerloh-berita seperti ini masih dijadikan panduan penilaian mereka. Oleh sebab itulah aku katakan strategi ini akan terus digunakan oleh BN. Mereka ada matlamat melalui cara ini walaupun kita nampak seperti kebudak-budakan. Jujurnya, ramai yang akan mual dengan pemberita kerana menjadi bahan boneka BN. Kerjaya kewartawanan makin hilang integriti dan mungkin lama-kelamaan menjadi low class profesion. Mujur ada segelintir daripada mereka memahami peranan sebenar tapi ruang mereka amat sempit dan dugaan banyak dialami.
“Setiap usaha menyampaikan kebenaran pasti ada halangan dan dugaan. Itu lumrah dan sunnah. Tidak kira di bidang apa pun. Para politikus yang benar ada cabarannya, peniaga yang jujur pasti ada halangannya, penjawat awam yang amanah akan ada yang hasad dan dugaannya serta para muslim yang sejati sudah menanti syaitan yang akan menghasutnya.”
“Jika segalanya mudah bagi kita, tiada halangan dan cabaran harus kita menilai kembali setiap langkah dan pergerakan kita…kerana dibimbangi kehidupan kita ada yang tidak betul. Kerana Al-Quran yang menjadi panduan kita ada menyebut bahawa jangan kita berasa sudah beriman sedangkan kita belum diuji”
Para ahli akademik sekarang juga hilang kredibilitinya. Bukan semua. Semalam aku menerima panggilan telefon daripada sahabat di UTM Skudai, sahabatku ini didakwa di mahkamah universiti kerana penglibatan dengan politik luar. Satu lagi double standard di negara membangun Malaysia ini. Dan mengikut kata-kata sahabatku ini, hakim semasa perbicaraan itu adalah juga pihak pendakwa. Aduyai!!!…apa punya Dato’ Ir Professssor la ni…Namun alhamdulillah kerana sahabatku ini hanya dikenakan amaran sahaja.
Orang yang sepatutnya menjadi kumpulan pendesak dan pemangkin kepada pertumbuhan kemajuan negara adalah para ilmuan. Negara kita punyai ramai profesor, penyelidik, pemikir dan ilmuan yang bertaraf antarabangsa. Termasuk para pensyarah di ratusan kolej serta universiti di dalam dan luar negara. Mereka inilah yang harus berperanan dalam mencorak kemajuan negara. Tapi hakikat ini dinafikan oleh batasan politik sempit. Berapa ramai daripada mereka yang berani menafikan kelemahan sesuatu dasar serta pendekatan yang digunakan pemerintah sekarang? Bukan kerana tidak mahir, tapi sekatan yang amat zalim ke atas mereka. Pemerintah zalim kepada para ilmuan kerana menyekat kebebasan idea, pemikiran, pandangan serta kemahiran mereka.
Kewarasan pemikiran sekarang tidak sehaluan dengan pendekatan seseorang. Lain di hati lain pula ungkapan dan tindakan diambil.