Isnin lepas polis mengadakan banyak sekatan jalan raya menuju ke parlimen kerana mandapat risikan bahawa akan ada satu perhimpunan haram di perkarangan parlimen.  Kesesakan luar biasa berlaku di Kuala Lumpur dan yang menakutkan (seolah-olah perang) ialah parlimen dijadikan seperti Kem Guantanamo.  Perhimpunan yang diuar-uarkan tidak pun kelihatan.  Lantas si menteri mengatakan bahawa mereka mendapat maklumat akan ada perhimpunan.  Namun apabila diminta penjelasan menteri berkaitan hal tersebut di parlimen, tidak pula diberi.

Penahanan Anwar pula pada hari semalam, berlaku dalam keadaan yang amat menakutkan juga.  Suspek kes liwat ditahan pada jam 1.00 tengah hari iaitu masih berbaki 1 jam sebelum waktu yang diberitahu iaitu jam 2.00 petang.  Ditambah pula dengan pegawai penangkap yang bertopeng ski seolah-olah yang ditangkap itu ialah penjenayah yang telah mengebom balai polis.  Lantas si timbalan menteri, Wan Farid mengatakan apa beza 20 minit atau 30 minit penangkapan dibuat.  Aku kecewa sungguh dengan si Wan Farid ni, tidak terfikirkah dia yang Anwar tu Islam.  Mungkin balik ke rumah sekejap nak solat zohor dan jumpa anak-anak untuk kali terakhir sebelum ditahan.  Rasanya semua pembaca setuju bahawa ditahan polis tu adalah sesuatu yang berat, dan jika kita berada disituasi ini pasti berpanjangan memohon pertolongan tuhan, mengucapkan kata-kata terakhir kepada keluarga.

Setelah dua insiden ini berlaku dalam minggu ini, ternyata wujud satu pakatan untuk menimbulkan provokasi kepada rakyat agar bertindak terhadap pihak berkuasa.  Insiden pertama merupakan provokasi agar rakyat berhimpun baramai-ramai di perkarangan parlimen dan ini akan di’highlight’ sebagai program pembangkang yang menyusahkan rakyat hingga berlaku kesesakan.  Ternyata ianya gagal.

Dan insiden kedua iaitu penahanan yang tidak mengikut prosedur serta dilaksanakan seperti kes berat juga adalah sebagai provokasi agar rakyat bertindak balas.  Jika berlaku, ia akan dijadikan simbol pembangkang yang gemarkan kekacauan.  Ia tidak ubah seperti Tragedi Batu Burok yang mana provokasi pihak polis telah menimbulkan kemarahan serta tindak balas orang ramai.  Jika Tragedi Batu Burok dikaitkan dengan Wan Farid, siapa pula untuk insiden minggu ini?  Adakah orang yang sama?

Secara logiknya, tidak mustahil akan berlaku perhimpunan besar pada waktu bekerja hari Isnin.  Ramai orang yang bekerja dan jika berlaku pun rasanya tidak sampai 1000 orang yang akan berhimpun.  Maka tidak perlu melakukan sekatan sedemikian rupa.  Sungguh tidak bijak ‘mistermind’ kes ini, mudah saja di’kantoi’kan.

Dan insiden kedua sebenarnya tiada sebab untuk menangkap Anwar sejam awal.  Kenapa jam 1.00 tangkap?  Jawapannya ialah waktu itu adalah masa rehat pekerja awam dan swasta.  Seperti yang aku katakan tadi, ianya hanyalah provokasi supaya orang ramai bertindak balas.  Kali kedua kantoi.

Tahniah kepada Datuk Shabery Cheek yang berani berhadapan dengan Anwar Ibrahim dalam debat terbuka semalam.  Terima kasih juga kerana memberi peluang untuk siaran di televisyen.

Jelas sekali dalam debat itu, Anwar Ibrahim begitu mendominasi tajuk dengan fakta yang jelas ditambah dengan idea yang bernas.  Layaklah beliau untuk menerajui negara dalam bidang ekonomi demi kepentingan kita semua.  Jika sudah ada penyelesaiannya seperti yang dijelaskan Anwar, kita semua menuntut kerajaan melaksanakan penurunan harga minyak 50 sen.  Jika tidak, sila jelaskan mengapa tidak boleh.  Usah terus membiarkan rakyat mencemuh kerajaan.

Seperti rakan bloggers yang lain, saya juga bersetuju bahawa Shebery hanya menghentam peribadi Anwar seperti mengajak mahasiswa berdemonstrasi, perjanjian IPP pada zaman Anwar, ketundukan kepada IMF serta menentang Tun Razak yang menubuhkan Petronas.  Shabery juga tidak menjawab persoalan daripada Sdr. Zulkifli berkaitan penggunaan penjimatan subsidi termasuk ketika kenaikan 30 sen yang lepas.

Yang nyata, Shabery hanya menekankan kemiskinan yang bakal dialami Petronas jika harga minyak diturunkan.  Dan berkali-kali Anwar menjelaskan bahawa kita tidak menganggu kewangan Petronas untuk menurunkan harga minyak sebaliknya wang yang digunakan ialah dana yang diperuntukkan kepada kerajaan oleh Petronas.  Namun, dalam hujah seterusnya, Shabery terus mengatakan yang Petronas akan miskin - sesuatu yang jelas menyimpang daripada hujah Anwar.  Jika ada juri, rasanya tiada markah untuk Shabery.

Shabery bertindak menyerang peribadi Anwar adalah untuk mengajak Anwar membicarakannya, tetapi Anwar tidak terjerat sebaliknya memberikan hujah yang hebat berkaitan penurunan harga minyak kerana peruntukan masa hanya singkat.  Sikap sebegini amat popular dikalangan UMNO termasuk ketika aku berhadapan Timbalan Naib Canselor semasa berstatus pelajar iaitu taktik provokasi agar kita dilalaikan dengan hujah mempertahankan diri hingga lari daripada tajuk asal persoalan.  TNC aku orang UMNO?  Yes, jelas terpampang dalam bilik rasminya logo UMNO.

Kredit yang diperolehi Anwar cukup besar dalam debat itu dan aku merasakan amat silap sekali di pihak kerajaan kerana menyiarkannya di televisyen.  Moderator, Johan Jaafar juga terkedu dengan hujah Anwar dan soalannya juga seakan tidak menyengat pembangkang seperti yang berlaku dalam program debat perdana. Begitu juga dengan NC UUM, Nordin Kardi yang telah menjatuhkan imej para intelek apabila mempersoalkan apa kaitan IPP dengan harga minyak seperti yang dihujahkan oleh Anwar.  Sungguh memalukan dan aku cukup terkejut dengan tarafnya sebagai NC sebuah universiti apabila Nordin mengeluarkan soalan sebegitu.  Soalan terakhir Nordin kepada Shabery juga tidak masuk akal.  Bagiku ia sepatutnya diajukan kepada Anwar.

Juga menarik perhatianku ialah istilah subsidi.  Shabery menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk mendidik rakyat agar tidak bergantung dengan subsidi kerajaan lagi sebaliknya harus berdikari merasai harga minyak sebenar.  Lantas dihujahkan Anwar bahawa kerajaan sering menggunakan istilah sudsidi (sesuatu yang negative) dalam soal minyak sebaliknya istilah itu ditukar untuk perkara lain.  Memang betul, dalam perkara lain kerajaan mneggunakan istilah seperti rebat tunai, wang ehsan, bantuan, dana dan peruntukkan yang sama kaedahnya iaitu menyalurkan wang kepada rakyat.  Namun dalam isu minyak, kita ditekankan dengan istilah sibsidi yang negative bunyinya.

Sekali lagi aku mengucapkan tahniah kepada Shabery.  Aku rasakan, dalam kalangan ahli UMNO, jawatan paling rendah pun yang layak bagi Shabery ialah Presiden.  Kerana kepetahan pidatonya dan keberanian serta perubahan dalam kementeriannya telah mengalahkan Presiden, Timbalan, Naib-naib Presiden UMNO yang lain.

Maka Shabery tidak perlu letak jawatan walaupun tewas tetapi Pak Lah yang perlu letak jawatan.  Khaleed Nordin yang menyatakan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden pun sepatutnya rasa malu dengan shabery.

Jun 2010, itulah tarikh keramat perjanjian pembebasan Pak Lah daripada jawatan Perdana Menteri untuk diambil alih oleh Najib.  Adakah Pak Lah hilang pertimbangan atau diugut Najib hingga terbit perjanjian itu?  Adakah jawatan PM itu ditentukan oleh Pak Lah?

Setelah tekanan hebat diterima oleh Najib disebabkan kes Altantuya dan kaitan dengan mangsa skandal liwat Saiful, Pak Lah yang susah diduga ini melarikan isu kepada peralihan kuasa.   Maka terpelantinglah rakan-rakan UMNO lain bahawa Pak Lah makin kusut dengan idea yang goyah.

Namun aku melihat ia adalah satu lagi tamparan kepada Najib.  Untuk tempoh peralihan ini, satu kes sahaja sudah cukup untuk menyingkirkan Najib daripada arena politik negara.  Dan isu Altantuya serta skandal liwat Saiful yang masih dalam siasatan adalah dua bom yang sudah sedia untuk digugurkan atas kepala Najib.

Mampukah Najib menjadi PM untuk berhadapan dengan proksi Pak Lah (Khairyl) dan Tun Mahathir (Mukhriz) dalam kerajaan?  Di samping bakal berdepan Anwar dan Pakatan Rakyat.

Persoalan lain ialah, mengapa Jun 2010?

Gandingan Pak Lah - Najib sekali lagi seiringan mendapat sokongan daripada UMNO negeri, sesuatu yang bukan asing dalam UMNO.  Hanya Tengku Razaleigh (Ku Li) yang masih berani mengkritik pemimpin UMNO dan juga yang telah keluar UMNO, Tun Mahathir.  Dan seorang lagi iaitu anak Tun Mahathir, Mukhriz.

Antara mereka bertiga, tidak seorang pun yang boleh menandingi kehebatan Ibrahim Ali.  Jika Ku Li, Tun M dan Mukhriz terpaksa bergantung harap kepada logo dacing dan keris untuk meraih sokongan rakyat, Ibrahim Ali tidak perlu kepada semua itu.  Cukup dengan perwatakan individu untuk menjadi ahli parlimen dan memenangi kerusi dengan majority besar.  Ibrahim Ali juga bukan menentang pembangkang semasa PRU lalu, tetapi menentang perti pemerintah.

Cuba bayangkan jika Pak Lah atau Najib menentang parti pemerintah (BN) dalam PRU, adakah anda yakin mereka boleh menang?  Siapa lebih hebat antara mereka dengan Ibrahim Ali?

Dan orang sehebat Ibrahim Ali ini mencadangkan TG Haji Hadi sebagai pemimpin Malaysia.

Memang ligat think tank strategis parti politik waktu ini.  Dalam 2,3 minggu ini sahaja kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang sensasi.  Yang kadang-kadang diluar pemikiran ummat biasa seperti kita.  Kenaikkan harga minyak mendadak, rasuah orang kanan MB Selangor, pengakuan sumpah Raja Petra (RPK) dan kes liwat Anwar hari ini.  Pendek kata, sejak Pakatan Rakyat mendapat mandat besar dalam PRU Mac lepas, situasi seolah-olah menjadi begitu gawat termasuk parti politik bukan melayu.

Keadaan sekarang meletakkan kedudukan para politikus negara di ambang kemenangan atau kehancuran.  Sedikit kesilapan akan membawa kejatuhan karier politik yang aku lihat sekarang lebih tertumpu di antara Pak Lah - Najib - Anwar.  Masing-masing sedang bercatur untuk menguatkan pertahanan pasukan disamping menyerang musuh.

Perang tiga penjuru biasanya akan berlarutan menjadi dua penjuru iaitu kemungkinan besar berlaku penggabungan antara dua pihak untuk menumbangkan pasukan yang bersendirian.  Namun pasukan Anwar lebih dilihat mendominasi dengan rekod sokongan kuat dan juga dalam kebangkitan yang hebat setelah diketahui umum menjadi ‘mangsa’ suatu ketika dahulu.

Pak Lah dan Najib masih bersokongan secara tersurat walaupun dari dalamnya telah dihebohkan menjadi musuh.  Dan pengakuan bersumpah RPK dilihat senjata yang telah dilancarkan oleh pihak musuh, anda boleh memilih diantara musuh-musuh Najib.  Begitu juga kes terbaru Anwar, juga serangan musuh.  Namun Pak Lah merupakan mangsa serangan yang paling hebat setelah diserang dari dalam dan luar.  Secara terbuka dan senyap.  Cuma Pak Lah mempunyai pertahanan kental kerana kuasa ada padanya.

Pendek kata peperangan sekarang memasuki fasa yang genting dan Pakatan Rakyat seolah-olah memperolehi bonus kerana tarikh perhimpunan raksasa satu juta rakyat terbit tatkala situasi genting ini hadir iaitu 6 Julai nanti.  Tiga point penting untuk menggerakkan rakyat iaitu kenaikan minyak, kes Najib Al Tantuya dan Kes keselamatan Anwar yang menjadi pembakar semangat.

Betulkah kes-kes ini dicipta untuk mengcongak strategi politik?

Dalam konteks negara Malaysia ini, Pak Lah sepatutnya tiada masalah untuk menumpaskan lawannya kerana kuasa media ada padanya.  Ini kerana kuasa ini amat penting dalam menjana serangan kepada musuh.  Namun seperti yang dikatakan tadi, Pak Lah juga diserang dari dalam dan secara senyap.

Firasat aku, Najib semakin terperosok jika dia tiada pertahanan kental.  Pasukan Anwar semakin ke depan di antara mereka dan inilah yang membimbangkan  kerana  Anwar telah menerima ancaman bunuh…

Kebenaran Akan Muncul…

Aku bukan pakar ekonomi tetapi sekadar pandangan dari perspektif orang biasa yang hari-hari baca akhbar. Apabila menyentuh soal berkaitan FTA (Free Trade Aggrement) antara Malaysia-Amerika (US), hingga sekarang ia masih berlarutan dalam peringkat rundingan. Dan membawa kepada pertukaran menteri dalam kabinet negara kita.

Aku ada terbaca dalam majalah Dewan Ekonomi dua tahun lepas berkaitan FTA antara US dengan negara-negara lain. Kebanyakkannya membawa impak negatif kepada negara yang menandatangani perjanjian tersebut dengan US. Sebagai contoh di Mexico yang berlaku lambakan jagung tempatan kerana jagung dari US lebih murah.

Kenapa perlu FTA dengan US?

Jika difikir logiknya, mungkin kita beroleh barangan import dari US dengan lebih murah dan ia pasti menggembirakan kerana negara kita amat bergantung dengan barangan US. Namun ia pasti membawa persoalan imbuhan yang diperolehi oleh US. Dan semestinya mereka mahukan keuntungan dari pihak mereka. Salah satunya ialah meluaskan pasaran serta menambah produk-produk mereka ke Malaysia yang mungkin sebelum ini tidak dapat ditembusi.

Melihatkan keadaan semasa, barangan keperluan terutama makanan di Malaysia sekarang semakin tinggi harganya seperti beras. Ini menambah kebimbangan jika FTA meluluskan kemasukan bahan tersebut dari US ke Malaysia. Sudah pasti ia membantutkan industri padi/beras negara walaupun ia menjadikan pengguna mempunyai pilihan beras murah dari US.

Aku melihat FTA Malaysia-US ini merupakan win-win situation. Kelebihan dipihak Malaysia ialah memperoleh barangan US dengan harga yang lebih murah sementara dipihak US adalah menambah produk mereka dalam pasaran Malaysia. Namun keburukannya ialah ia akan membantutkan usaha penghasilan produk tempatan kerana diakui kualiti dan penjenamaan produk kita jauh ketinggalan dibandingkan dengan US. Cuba bayangkan, anda mempunyai pilihan untuk memilih sama ada kasut Adidas (US) atau kasut Gombak (Malaysia)? Kita cenderung memilih Adidas kalau bukan pun kerana kualiti tetapi kerana jenama. Ia lebih menakutkan jika kasut Adidas turun harganya kerana FTA.

Jika FTA membuka peluang produk tempatan memasuki pasaran US, bolehkah ia bersaing di sana? Jika produk tempatan pun sukar menambat pengguna tempatan, masakan boleh ia maju di US. Kita tidak seperti rakyat Korea yang amat bangga dengan produk mereka.

Hiburan dan keseronokan adalah senjata utama yang akan digunakan oleh pihak kerajaan untuk menyelamatkan mereka. Bukannya pemotongan elaun, ubah gaya hidup, rebat tunai dan sebagainya.  Kajian sosio-budaya rakyat negara India mendapati, rakyat miskin India akan melupakan keperitan hidup mereka buat seketika apabila pergi menonton wayang.  Maka tidak pelik jika industri filem di India berkembang pesat dan rata-rata filemnya adalah memakan masa 3 jam tayangan.  Dan filemnya ‘happy ending’ untuk menggembirakan warga yang sedang dalam kesempitan hidup.

Tidak jauh perbezaannya dengan Malaysia.  Filem, konsert dan sukan menjadi pengubat kesengsaraan mereka.  Lihat sahaja kehadiran di konsert dan panggung wayang, hampir penuh sentiasa.  Sama ada berbayar atau percuma.  Pernah aku terserempak dengan satu keluarga di sebuah konser di Danga Bay, JB.  Mereka datang dari Pontian (1 jam perjalanan) semata-mata untuk menyaksikan konsert percuma.

Di tempat-tempat sebegini mereka diulit dengan keseronokan hingga melupai kehidupan yang nyata seketika.  Dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh kerajaan dengan menyokong dan membiayai program sebegini yang akhirnya membawa rakyat ke alam fantasi.  Fantasi kerana ada yang sanggup berhabis beratus ringgit untuk sms undi, menangis, menjerit dan khayal dengan paparan cerita yang mitos.

Ia sekali gus mengiakan segala apa kerakusan yang dipelopori pemerintah.  Mengerah keringat rakyat dalam masa yang sama menracuni rakyat dengan ‘pil khayal’ supaya mereka terus leka.  Rakyat tidak peduli lagi soal harga minyak atau pemimpin korup.

Termasuk diriku yang akan khayal dengan EURO 2008

Penangan oleh rakyat Malaysia dalam Pilihanraya Umum (PRU) lalu masih belum dapat menghentuk media massa arus perdana.  Memuji setinggi-tingginya langkah kerajaan (walaupun budak sekolah pun tahu ia adalah buruk) dan mempersenda serta mengeksploitasi berita pembangkang hingga menjadi negatif adalah masih tanggungjawab mereka.  TIDAKKAH MEDIA PERDANA LUPA BAHAWA KEKALAHAN BESAR BN DALAM PRU LALU ADALAH DISEBABKAN JUGA OLEH TINDAKAN MEREKA INI?  Malah timbulnya gerakan memboikot media dan  munculnya bloggers kerana rakyat sudah mual dengan peranan sebenar media massa.

Lihat saja isu kenaikkan harga minyak hari ini, kerajaan dipuji lagi.  Orang yang waras tidak akan berbuat demikian.  Dan kita sebagai rakyat yang bijak juga tahu bukan mereka sebenarnya yang mahukan terbit berita sedemikian, bahkan jauh di sudut hati mereka menentang kenaikkan harga minyak ini.  Namun disebabkan tugas dan ketua editornya, berita yang terbit adalah palsu semata-mata.  Akhirnya kerjaya sebagai wartawan tidak lagi ikhlas.

Teringat ketika era reformasi 1998 dahulu, seorang kartunis telah melakarkan kartun yang menggambarkan gelagat antara suami dengan isteri.  Si isteri bertanyakan kepada suaminya kenapa hari ini bawa payung ke tempat kerja?  Dijawab si suami bahawa malam tadi berita TV3 bagi tahu ramalan hari ini akan panas terik.  Begitu sinis kartun itu yang menggambarkan ketika itu dan hingga kini rakyat tidak mempercayai berita arus perdana.

Malahan masyarakat juga sudah lali untuk mengungkapkan kata-kata seperti

‘berita ni bukan boleh percaya sangat’

‘hari-hari hentam pembangkang’

dan sendiri sedia maklum dialog-dialog lain yang mungkin lebih seronok jika dikongsi.

Oleh sebab itulah masyarakat mula beralih kepada berita alternatif seperti akhar kepartian, website dan blog.  Maka tidak hairan pada PRU lalu masyarakat bandar beralih memilih Pakatan Rakyat kerana bijak membandingkan berita dan mudah akses maklumatnya.

Kekalahan menteri penerangan juga adalah isyarat jelas rakyat untuk menyedarkan kerajaan bahawa media yang bebas dan telus diperlukan.

Sungguh malu jika membandingkan media kita dengan media luar yang sama taraf membangunnya.  Jauh ketelusannya.

« Previous PageNext Page »