Malam tadi aku hampir menitiskan air mata menyaksikan satu demi satu petualang di negara kita tumbang. Aku berada di bilik gerakan utama N15 Ladang kerana DUN ini amat kritikal di Parlimen Kuala Terengganu kerana keputusannya paling lewat diterima. Kedudukan memihak kepada calon PAS, Datuk Tengku Hasan ketika kami sedang menunggu undi pos. 728 majoriti-itulah pilihan rakyat Ladang sebelum sampai undi pos yang berjumlah lebih 900 undi. Amat meruntun jiwa semua petugas dan hadirin.
Sambil menunggu ketibaan undi pos, laungan takbir bergema apabila berita kejayaan demi kejayaan dicapai oleh pakatan pembangkang. Bermula dengan kejayaan PAS Kelantan membentuk kerajaan negeri, diikuti dengan tumbangnya nama-nama besar BN. Ketewasan Zainudin Maidin, Shahrizat Jalil, Samy Vellu dan Awang Adek disambut gembira dan disusuli pula kejayaan calon pembangkang seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Wan Azizah, Lim Kit Siang, Nurul Izzah, Salahuddin Ayub, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Azmin Ali, Fuziah Salleh, Dr. Lo’ Lo’, Ustaz Taib Azzamuddin dan yang lain-lainnya.
Aku lihat linangan air mata bercucuran membasahi wajah petugas dan hadirin di sini yang amat berharap Terengganu juga bakal mencatatkan kembali sejarahnya. Selang beberapa minit kemudian, hadirin semakin teruja apabila dimaklumkan bahawa Kedah dan Pulau Pinang juga telah berjaya ditawan PAS dan DAP. Sudah tiga negeri berjaya menumbangkan BN. Kedudukan di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan juga sengit.
Akhirnya keputusan undi pos tiba di bilik gerakan utama. Keadaan semakin sesak dalam dewan yang kecil ini. Setelah diumumkan jumlah undi pos yang membawa majoriti kemenangan 31 undi, takbir bergema bagaikan guruh dilangit dan masing-masing mengucapkan tahniah dengan linangan air mata setelah penat lelah dan bertungkus lumus bekerja. Syukur kami kepada Allah s.w.t.
Selepas itu, kejayaan demi kejayaan dicapai pembangkang hingga dapat membentuk kerajaan di Selangor dan Perak. Namun, aku amat terkilan dengan keputusan di negeri Terengganu. Negeriku sendiri masih mengekalkan pemerintah zalim-BN.
Dalam kelam malam ini, aku dan sahabat-sahabat lain telah bulatkan tekad untuk mengembalikan PAS di Terengganu ini dalam pilihanraya akan datang.