Memang ligat think tank strategis parti politik waktu ini.  Dalam 2,3 minggu ini sahaja kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang sensasi.  Yang kadang-kadang diluar pemikiran ummat biasa seperti kita.  Kenaikkan harga minyak mendadak, rasuah orang kanan MB Selangor, pengakuan sumpah Raja Petra (RPK) dan kes liwat Anwar hari ini.  Pendek kata, sejak Pakatan Rakyat mendapat mandat besar dalam PRU Mac lepas, situasi seolah-olah menjadi begitu gawat termasuk parti politik bukan melayu.

Keadaan sekarang meletakkan kedudukan para politikus negara di ambang kemenangan atau kehancuran.  Sedikit kesilapan akan membawa kejatuhan karier politik yang aku lihat sekarang lebih tertumpu di antara Pak Lah - Najib - Anwar.  Masing-masing sedang bercatur untuk menguatkan pertahanan pasukan disamping menyerang musuh.

Perang tiga penjuru biasanya akan berlarutan menjadi dua penjuru iaitu kemungkinan besar berlaku penggabungan antara dua pihak untuk menumbangkan pasukan yang bersendirian.  Namun pasukan Anwar lebih dilihat mendominasi dengan rekod sokongan kuat dan juga dalam kebangkitan yang hebat setelah diketahui umum menjadi ‘mangsa’ suatu ketika dahulu.

Pak Lah dan Najib masih bersokongan secara tersurat walaupun dari dalamnya telah dihebohkan menjadi musuh.  Dan pengakuan bersumpah RPK dilihat senjata yang telah dilancarkan oleh pihak musuh, anda boleh memilih diantara musuh-musuh Najib.  Begitu juga kes terbaru Anwar, juga serangan musuh.  Namun Pak Lah merupakan mangsa serangan yang paling hebat setelah diserang dari dalam dan luar.  Secara terbuka dan senyap.  Cuma Pak Lah mempunyai pertahanan kental kerana kuasa ada padanya.

Pendek kata peperangan sekarang memasuki fasa yang genting dan Pakatan Rakyat seolah-olah memperolehi bonus kerana tarikh perhimpunan raksasa satu juta rakyat terbit tatkala situasi genting ini hadir iaitu 6 Julai nanti.  Tiga point penting untuk menggerakkan rakyat iaitu kenaikan minyak, kes Najib Al Tantuya dan Kes keselamatan Anwar yang menjadi pembakar semangat.

Betulkah kes-kes ini dicipta untuk mengcongak strategi politik?

Dalam konteks negara Malaysia ini, Pak Lah sepatutnya tiada masalah untuk menumpaskan lawannya kerana kuasa media ada padanya.  Ini kerana kuasa ini amat penting dalam menjana serangan kepada musuh.  Namun seperti yang dikatakan tadi, Pak Lah juga diserang dari dalam dan secara senyap.

Firasat aku, Najib semakin terperosok jika dia tiada pertahanan kental.  Pasukan Anwar semakin ke depan di antara mereka dan inilah yang membimbangkan  kerana  Anwar telah menerima ancaman bunuh…

Kebenaran Akan Muncul…

Aku bukan pakar ekonomi tetapi sekadar pandangan dari perspektif orang biasa yang hari-hari baca akhbar. Apabila menyentuh soal berkaitan FTA (Free Trade Aggrement) antara Malaysia-Amerika (US), hingga sekarang ia masih berlarutan dalam peringkat rundingan. Dan membawa kepada pertukaran menteri dalam kabinet negara kita.

Aku ada terbaca dalam majalah Dewan Ekonomi dua tahun lepas berkaitan FTA antara US dengan negara-negara lain. Kebanyakkannya membawa impak negatif kepada negara yang menandatangani perjanjian tersebut dengan US. Sebagai contoh di Mexico yang berlaku lambakan jagung tempatan kerana jagung dari US lebih murah.

Kenapa perlu FTA dengan US?

Jika difikir logiknya, mungkin kita beroleh barangan import dari US dengan lebih murah dan ia pasti menggembirakan kerana negara kita amat bergantung dengan barangan US. Namun ia pasti membawa persoalan imbuhan yang diperolehi oleh US. Dan semestinya mereka mahukan keuntungan dari pihak mereka. Salah satunya ialah meluaskan pasaran serta menambah produk-produk mereka ke Malaysia yang mungkin sebelum ini tidak dapat ditembusi.

Melihatkan keadaan semasa, barangan keperluan terutama makanan di Malaysia sekarang semakin tinggi harganya seperti beras. Ini menambah kebimbangan jika FTA meluluskan kemasukan bahan tersebut dari US ke Malaysia. Sudah pasti ia membantutkan industri padi/beras negara walaupun ia menjadikan pengguna mempunyai pilihan beras murah dari US.

Aku melihat FTA Malaysia-US ini merupakan win-win situation. Kelebihan dipihak Malaysia ialah memperoleh barangan US dengan harga yang lebih murah sementara dipihak US adalah menambah produk mereka dalam pasaran Malaysia. Namun keburukannya ialah ia akan membantutkan usaha penghasilan produk tempatan kerana diakui kualiti dan penjenamaan produk kita jauh ketinggalan dibandingkan dengan US. Cuba bayangkan, anda mempunyai pilihan untuk memilih sama ada kasut Adidas (US) atau kasut Gombak (Malaysia)? Kita cenderung memilih Adidas kalau bukan pun kerana kualiti tetapi kerana jenama. Ia lebih menakutkan jika kasut Adidas turun harganya kerana FTA.

Jika FTA membuka peluang produk tempatan memasuki pasaran US, bolehkah ia bersaing di sana? Jika produk tempatan pun sukar menambat pengguna tempatan, masakan boleh ia maju di US. Kita tidak seperti rakyat Korea yang amat bangga dengan produk mereka.

Hiburan dan keseronokan adalah senjata utama yang akan digunakan oleh pihak kerajaan untuk menyelamatkan mereka. Bukannya pemotongan elaun, ubah gaya hidup, rebat tunai dan sebagainya.  Kajian sosio-budaya rakyat negara India mendapati, rakyat miskin India akan melupakan keperitan hidup mereka buat seketika apabila pergi menonton wayang.  Maka tidak pelik jika industri filem di India berkembang pesat dan rata-rata filemnya adalah memakan masa 3 jam tayangan.  Dan filemnya ‘happy ending’ untuk menggembirakan warga yang sedang dalam kesempitan hidup.

Tidak jauh perbezaannya dengan Malaysia.  Filem, konsert dan sukan menjadi pengubat kesengsaraan mereka.  Lihat sahaja kehadiran di konsert dan panggung wayang, hampir penuh sentiasa.  Sama ada berbayar atau percuma.  Pernah aku terserempak dengan satu keluarga di sebuah konser di Danga Bay, JB.  Mereka datang dari Pontian (1 jam perjalanan) semata-mata untuk menyaksikan konsert percuma.

Di tempat-tempat sebegini mereka diulit dengan keseronokan hingga melupai kehidupan yang nyata seketika.  Dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh kerajaan dengan menyokong dan membiayai program sebegini yang akhirnya membawa rakyat ke alam fantasi.  Fantasi kerana ada yang sanggup berhabis beratus ringgit untuk sms undi, menangis, menjerit dan khayal dengan paparan cerita yang mitos.

Ia sekali gus mengiakan segala apa kerakusan yang dipelopori pemerintah.  Mengerah keringat rakyat dalam masa yang sama menracuni rakyat dengan ‘pil khayal’ supaya mereka terus leka.  Rakyat tidak peduli lagi soal harga minyak atau pemimpin korup.

Termasuk diriku yang akan khayal dengan EURO 2008

Penangan oleh rakyat Malaysia dalam Pilihanraya Umum (PRU) lalu masih belum dapat menghentuk media massa arus perdana.  Memuji setinggi-tingginya langkah kerajaan (walaupun budak sekolah pun tahu ia adalah buruk) dan mempersenda serta mengeksploitasi berita pembangkang hingga menjadi negatif adalah masih tanggungjawab mereka.  TIDAKKAH MEDIA PERDANA LUPA BAHAWA KEKALAHAN BESAR BN DALAM PRU LALU ADALAH DISEBABKAN JUGA OLEH TINDAKAN MEREKA INI?  Malah timbulnya gerakan memboikot media dan  munculnya bloggers kerana rakyat sudah mual dengan peranan sebenar media massa.

Lihat saja isu kenaikkan harga minyak hari ini, kerajaan dipuji lagi.  Orang yang waras tidak akan berbuat demikian.  Dan kita sebagai rakyat yang bijak juga tahu bukan mereka sebenarnya yang mahukan terbit berita sedemikian, bahkan jauh di sudut hati mereka menentang kenaikkan harga minyak ini.  Namun disebabkan tugas dan ketua editornya, berita yang terbit adalah palsu semata-mata.  Akhirnya kerjaya sebagai wartawan tidak lagi ikhlas.

Teringat ketika era reformasi 1998 dahulu, seorang kartunis telah melakarkan kartun yang menggambarkan gelagat antara suami dengan isteri.  Si isteri bertanyakan kepada suaminya kenapa hari ini bawa payung ke tempat kerja?  Dijawab si suami bahawa malam tadi berita TV3 bagi tahu ramalan hari ini akan panas terik.  Begitu sinis kartun itu yang menggambarkan ketika itu dan hingga kini rakyat tidak mempercayai berita arus perdana.

Malahan masyarakat juga sudah lali untuk mengungkapkan kata-kata seperti

‘berita ni bukan boleh percaya sangat’

‘hari-hari hentam pembangkang’

dan sendiri sedia maklum dialog-dialog lain yang mungkin lebih seronok jika dikongsi.

Oleh sebab itulah masyarakat mula beralih kepada berita alternatif seperti akhar kepartian, website dan blog.  Maka tidak hairan pada PRU lalu masyarakat bandar beralih memilih Pakatan Rakyat kerana bijak membandingkan berita dan mudah akses maklumatnya.

Kekalahan menteri penerangan juga adalah isyarat jelas rakyat untuk menyedarkan kerajaan bahawa media yang bebas dan telus diperlukan.

Sungguh malu jika membandingkan media kita dengan media luar yang sama taraf membangunnya.  Jauh ketelusannya.

Terkejut aku apabila menerima sms daripada sahabat menyatakan harga minyak akan naik kepada RM2.70 esok.  Lantas aku menunggu berita terkini yang sahih daripada Group Media Prima.

Dalam sidang video di TV, Pak Lah yang berwatak ala si tenang itu mengumumkan kenaikkan petrol dan diesel.  Hanya rantaian sms yang mampu aku lakukan ketika itu sambil memacu kereta untuk memenuhkan tangki.

Panik benar aku rasakan waktu ini dan aku mengandaikan semua rakyat sehati denganku.  Barang siapa yang gembira dengan berita ini aku anggapkan sudah habis siuman.

Apa khabar Ezam?  Sanggup boss anda menyeksa kami sebegini rupa…

Tengah hari tadi aku baru selesai menghabiskan bacaan Suara Keadilan terbaru, sekali lagi Anwar Ibrahim menyatakan kebolehan Pakatan Rakyat menurunkan harga minyak jika berkuasa.  Mereka berjanji.  Kenaikan harga minyak global sebenarnya menguntungkan Malaysia selaku pengeluar minyak.  Mungkin aku kurang arif tentang ekonomi, tapi sifirnya mudah.  Apalah salahnya menggunakan keuntungan jualan minyak itu untuk menampung subsidi kepada rakyat.  Memang benar kata-kata MP Kubang Kerian bahawa sepatutnya kewangan Petronas dibentangkan di parlimen supaya kita semua tahu jumlah keuntungan sebenar Petronas dan kemana ia dibelanjakan.

Apa akan jadi pada ECER, WPI, NCER dan koridor ekonomi Sabah dan Sarawak selepas ini?  Kosnya pasti turut meningkat, dan jika ia diteruskan, akan timbul pertikaian kepentingan sama ada meneruskan projek itu atau sepatutnya ia digunakan untuk subsidi minyak?

Masih aku ingat suatu ketika aku menyertai kempen kesedaran kenaikan minyak 30 sen di Johor 2 tahun lalu.  Seorang pemuda memekik ‘ Apalah…30 sen pun nak kecoh!!!…’.  Entah apa nasibnya sekarang.

KLpos telah memaparkan berita-berita eksklusif kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Yang menarik minatku ialah artikel ‘kembali kepada perjuangan pengasas bangsa’ yang dicoret sendiri oleh Ezam.

Ternyata Ezam telah lama ingin kembali kepada UMNO dengan syarat dasarnya terhadap rasuah berubah. Masakan tidak, PKR dan Pakatan Rakyat telah lama mendasarkan perjuangan untuk membanteras rasuah tetapi tidak dapat menambat hati Ezam - hanya UMNO dalam dirinya dengan syarat ia berubah.

Persoalan utamanya, adakah UMNO sudah merubah dasarnya?  Selepas PRU ke -12 tidak pernah jerung rasuah didakwa di mahkamah…maka di mana panduan yang digunakan Ezam hingga sanggup menyatakan UMNO telah merubah dasarnya.

Ezam juga bakal terlucut keahliannya dalam GERAK jika menjadi ahli aktif dalam UMNO seperti yang telah dipaparkan di web rasmi GERAK. GERAK yang diasaskannya itu dilihat sebagai platform terbaik membanteras dan membongkar rasuah kerana sifatnya yang non-partisan (neutral). Maka betul perlembagaannya dengan tidak membolehkan ahlinya aktif dalam parti politik kerana dibimbangi ‘bias’ kepada parti yang dianggotainya.

Dan apabila Ezam menjadi ahli UMNO lebih-lebih lagi apabila dia sendiri bersetuju bertanding jawatan ketua pemuda, maka peranannya untuk membanteras rasuah dilihat hanya omongan kosong.

Tidak timbul soal Ezam sebagai agen Anwar kerana :

  • Orang yang dikatakan bertanggungjawab membawa Ezam kembali kepada UMNO ialah Datuk Wan Farid, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang merupakan orang kanan Pak Lah
  • Anwar mempunyai ramai kenalan dalam UMNO yang boleh sahaja menjadi agennya.
  • Kemasukan Ezam ke dalam UMNO pasti meletakkan dirinya sukar untuk berperanan penting (jawatan) jika Ezam masuk UMNO dengan rela hati. Namun jika Ezam masuk UMNO melalui kroni Pak Lah, maka pasti selesa bagi Ezam untuk berpolitik-ini terus menolak tohmahan Ezam sebagai agen Anwar

Dari pengamatanku, Ezam adalah strategi Pak Lah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO melalui sayap pemuda dan menangkis cubaan pasukan Najib. Ezam dilihat aset penting bagi Pak Lah untuk sayap pemuda setelah Khairyl menjadi liabiliti.

Akhirnya para penyokong dan peminat anti-rasuah telah kehilangan idolanya…hilang bukan kerana kembali kepada yang Maha Esa, tapi hilang kerana pendirian.

Aku bimbang sekiranya mereka semua akan jemu dengan slogan anti-rasuah kerana mudah benar manusia berubah.  Jika jemu dengan anti-rasuah, tidak mustahil untuk rasuah.

Dan jika tidak mustahil untuk rasuah…tunggulah balasan Yang Maha Berkuasa.

Seperti diduga oleh sahabatku bahawa ada yang tidak kena dengan pengumuman Pak Lah untuk membentuk Suruhajaya Kehakiman dan membebaskan BPR. Jangkaan pertama daripada tindakan itu ialah menghimpit Tun Mahathir yang kian ghairah mendesak Pak Lah hingga terkeluar Tun dari parti utamanya. Dan jangkaan kedua ialah kemasukkan orang yang kuat menentang rasuah…terlalu mustahil untuk aku menyetujui apabila dikatakan Anwar akan masuk UMNO…dan aku juga lupa pada Ezam yang mengepalai GERAK.

Alasan utama Ezam masuk UMNO ialah kerana Pak Lah sudah berubah dengan beberapa janji manis selepas Pilihanraya Umum lalu.

Akhirnya aku dapat simpulkan bahawa suatu drama sudah dibongkar. Penubuhan GERAK oleh Ezam dan katanya penumpuan kepada NGO itu menjadi keutamaan hingga memaksanya keluar Keadilan. Situasi yang dicipta untuk melepaskan alasan kukuh. Dan Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman serta kebebasan BPR juga situasi yang dicipta untuk alasan kukuhnya masuk UMNO. Mencipta sesuatu untuk dijadikan alasan. Ini mengukuhkan lagi omongan rakyat di warung bahawa Pak Lah hanya menabur janji - kerana ada sesuatu disebaliknya.

Keputusan Ezam masuk UMNO juga dilihat sebagai langkah terdesaknya untuk menyelamatkan karier politik yang makin jauh ketinggalan. Strateginya keluar Keadilan kerana dirasakan parti itu tidak mampu bertahan lama dan hanya ada satu kerusi di Parlimen ketika 2004. Berbanding UMNO ketika itu yang bagaikan raksasa bermaharajalela di parlimen. Mungkin benar kata-kata orang-orang kanan PKR bahawa Ezam keluar Keadilan dahulu adalah untuk menyertai UMNO…tapi bergiat dahulu seketika dalam GERAK untuk mengelakkan tohmahan jika terus masuk UMNO.

Setelah PRU ke-12, PKR (Keadilan) mendapat banyak kerusi dan membentuk Pakatan Rakyat bersama Pas dan DAP. Ezam yang tidak berparti melihat situasi ini dengan penuh minat dan gelombang reformasi dalam jiwanya mengajaknya kembali ke kancah politik kepartian. Jika dia kembali bersama PKR, mungkin dilihat sebagai penumpang kemenangan - dan tidak berpenat lelah bersama pejuang PKR lain ketika jatuh dahulu. Begitu juga dengan kedudukannya dalam PKR, apa jawatan yang diperolehi jika kembali semula ke pangkuan PKR? Maka dipilihnya UMNO yang mungkin telah menggambarkan jawatan untuknya…paling tidak pun naib ketua pemuda…Dia juga memilih UMNO yang parah untuk membuatkan anggapan sesetengan pihak bahawa Ezam adalah hero sepanjang zaman.

Hero reformasi ketika Anwar dihumban ke penjara…

Hero anti rasuah…

Hero melayu disaat UMNO semakin tenat…

Sebenarnya tiada apa yang ada pada Ezam…sama seperti rakyat awam yang mencari sesuap nasi untuk menampung kehidupan…cuma Ezam tak suka makan nasi - dia suka ayam KFC

Selepas keputusan paling teruk dialami oleh BN dalam Pilihanraya Umum (PR), pengerusinya iaitu PM bertalu-talu diasak agar meletak jawatan.  Tapi sebaliknya pula berlaku apabila bekas PM yang meletak jawatan.  Dahulunya Tun Muhathir mendesak Pak Lah letak jawatan atas rasa tanggungjawab akibat kekalahan besar itu, tapi beliau pula yang meletak jawatan.  Mungkin Tun berasa bertanggungjawab atas kekalahan itu dan meletak jawatan bagi pihak Pak Lah…Oh! sungguh sejati persahabatan mereka - Itu adalah anggapan aku, yang jauh melencong daripada anggapan majoriti.

Akan tetapi sisi mata aku juga melihat tindakan Tun ini lebih kepada strategi terdesak ‘pasukan’ Tun untuk menjatuhkan Pak Lah setelah sejak kebelakangan ini Pak Lah begitu hebat dalam tindak tanduknya.  Memperhalusi kebebasan BPR, Suruhanjaya Kehakiman, Kes Lingam dan Kes Altantuya menyebabkan Pak Lah mendepani musuhnya dan kembali meyakinkan Golongan Eksekutif untuk berpihak kepadanya.

Tun yang dilihat mempunyai kekuatan daripada golongan akar umbi (melihat kepada cakap-cakap orang bawahan UMNO) dan segelintir pimpinan UMNO mengambil tindakan berbentuk ‘rayuan’ dengan meletak jawatan.  Sentimen melayu yang kuat dalam diri Tun mendorongnya mengambil tindakan itu kerana melayu amat lemah kepada rayuan.  Nada kekesalan terhadap kepimpinan Pak Lah membawa suatu bom jangka kepada ahli UMNO untuk membuka pencak serangan kepada Pak Lah setelah kecaman sebelum ini agak longlai untuk disahut.

Namun, tindakan Tun ini juga dilihat memberi kredit kepada Pak Lah.  Pak Lah boleh sahaja menggunakan isu perpaduan melayu untuk memegang kembali keutuhan parti setelah ura-ura ada MP UMNO akan lompat parti.

Atau adakah Pak Lah yang mengarahkan Tun meletak jawatan?

Next Page »